Khidmat Tren Kargo China-Eropah Suntik Momentum Pembangunan BRI

2022-03-21 15:01:49  CRI
Share with:

Perkhidmatan tren kargo China-Eropah yang mula beroperasi pada 2011 menyuntik momentum baharu bagi menggerakkan pembangunan berkualiti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).


Dalam tempoh 11 tahun, pengoperasian tren tersebut berjaya membawa keyakinan dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi serta membendung penularan COVID-19 di negara-negara sepanjang rangkaian rel kargo tersebut.


Setakat hujung Januari tahun ini, tren China-Eropah telah melakukan lebih 50,000 perjalanan dengan jumlah pengangkutan kargo membabitkan 4.55 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena yang bernilai USD240 bilion (RM1 trilion).


Pada 2011, penghantaran pertama tren tersebut yang bertolak dari Chongqing selamat tiba di Duisburg, Jerman sekali gus membuka dimensi baharu perkhidmatan pengangkutan darat antara Asia dan Eropah.


Selaku hab rangkaian rel China-Eropah dengan kekerapan perkhidmatan tertinggi serta kuantiti dan nilai barang kargo terbesar, Duisburg telah menyaksikan perkembangan rangkaian rel kargo tersebut selama 11 tahun.


Menurut petugas Duisburg Intermodal Terminal (DIT), Amelie Erxleben, banyak bandar di China kini telah menggunakan perkhidmatan kargo tersebut termasuk Wuhan, Yiwu, Xi’an, Dalian, Xia’men dan Shanghai.


Katanya, Duisburg akan membuka laluan baharu menjelang tahun ini, sambil terus mempercepat pembinaan prasarana yang berkaitan.


Difahamkan, tren China-Eropah turut menjadi pemangkin dalam melahirkan lebih banyak rangkaian logistik, perindustrian, pusat perdagangan dan taman perindustrian baharu, yang secara tidak langsung mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.selain turut menghubungkan 180 bandar di 23 buah negara Eropah.


Contohnya, pelabuhan Duisburg berjaya meransang penubuhan ratusan perusahaan logistik, dan mencipta lebih 20 ribu peluang pekerjaan selepas tren China-Eropah beroperasi.


Dari perspektif lain, rangkaian rel China-Eropah pula dilihat sebagai “posmen baharu” di sepanjang laluan BRI, dan membuka saluran baharu pengedaran mel antarabangsa.


Dalam konteks pengangkutan laut dan udara terencat akibat penularan COVID-19, perkhidmatan mel antarabangsa tren China-Eropah telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan rantaian bekalan global.


Sebagai contoh, Chongqing dijadikan hab kecemasan penghantaran bungkusan antarabangsa dalam negeri sejak pandemik merebak.