Sumber Hutan China Kini Lebih Mapan

2022-03-21 15:28:48  CRI
Share with:

Kempen penghijauan China yang dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh negara sejak sedekad lalu membuahkan hasil apabila sumber hutan bertambah dengan mapan.

Menurut Pentadbiran Perhutanan dan Padang Rumput Negara (NFGA), kempen tersebut menyaksikan jumlah keluasan hutan dan padang rumput meningkat kepada 7.82 juta hektar, dengan 6.4 juta hektar daripadanya merupakan kawasan hutan.

NFGA menyatakan, dalam tempoh sepuluh tahun lalu, kadar liputan hutan di China mencapai 23.04 peratus dengan volum tumbuhan hutan sebanyak 17.56 bilion meter padu.

Pelaksanaan kempen penghijauan berkenaan meletakkan asas yang kukuh kepada usaha menjaga keselamatan ekologi, menambah baik kesejahteraan rakyat dan menggerakkan pembangunan lestari.

Pada masa sama, China juga memberi sumbangan positif dalam memantapkan tadbir urus ekologi di lingkungan global.

Ketua Jabatan Pemeliharaan dan Pemuliharaan Ekologi NFGA, Zhang Wei berkata, imej dari satelit merakamkan planet Bumi kembali menghijau secara beransur-ansur sepanjang 20 tahun lalu.

“Rakaman imej satelit menunjukkan, China menyumbang satu perempat daripada peningkatan landskap hutan, menduduki tempat teratas di dunia,” katanya.

"Hutan, Pengeluaran dan Penggunaan Lestari" dipilih sebagai tema sambutan Hari Hutan Sedunia 2022 yang jatuh pada 21 Mac, dengan tujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peri pentingnya fungsi dan peranan hutan bagi kelangsungan hidup manusia.

Menerusi usaha gigih, China memperoleh pencapaian cemerlang dalam sektor perhutanan, sekali gus menjadikannya sebagai negara dengan pertumbuhan sumber hutan terbesar di dunia.

Memetik data NFGA, nilai output keseluruhan industri perhutanan China mencapai 7.55 trilion yuan bagi tahun 2020, selain turut mewujudkan lebih 34 juta peluang pekerjaan.

Kempen menghijaukan negara dengan usaha peluasan liputan hutan bukan sahaja memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara buat generasi masa depan, malah juga memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.

Seperti diibaratkan Presiden Xi Jinping, gunung hijau dan air jernih bagaikan timbunan emas dan perak. Alam sekitar tidak boleh dikorbankan dalam proses pembangunan negara.

Strategi memajukan tamadun ekologi dan membina China yang indah adalah untuk membolehkan generasi seterusnya menikmati langit nan biru, bumi nan hijau dan air nan jernih.