COVID-19: Pesanan Khidmat Penghantaran Melonjak di Shanghai

2022-03-23 16:45:32  CRI
Share with:

Tatkala ramai warga Shanghai berlindung daripada ancaman wabak COVID-19 dengan tinggal di rumah, penunggang skuter khidmat penghantaran makanan dilihat sibuk menyusuri jalan di bandar raya itu.

Suasana bandar raya tersebut menjadi sunyi sepi dengan bilangan kenderaan di jalan turut berkurangan dek COVID-19.

Menurut laporan AFP bertarikh 19 Mac, penyedia perkhidmatan penghantaran seperti Meituan, Ele.me kendalian Alibaba, Pinduoduo dan Dingdong Maicai, menyaksikan tempahan penghantaran yang naik secara drastik.

Shanghai setakat ini tidak melaksanakan perintah berkurung, dengan ujian saringan berskala besar diteruskan. Sesetengah sekolah ditutup dan sekatan pergerakan dikenakan ke atas beberapa kawasan kediaman.

AFP memberi gelaran "iron army" kepada penunggang skuter khidmat penghantaran yang bergelut dengan permintaan tinggi penduduk tempatan terhadap barang keperluan harian.

Laporan itu berbunyi, China antara negara yang mempunyai sektor penghantaran makanan siap bungkus dan produk segar yang paling maju di dunia.

Aplikasi telefon pintar memudahkan pengguna membuat tempahan dari mana-mana kedai makan dalam radius beberapa kilometer, malahan ia akan memaparkan suhu badan penunggang penghantaran.

Difahamkan, penunggang berkenaan boleh mengendalikan tempahan penghantaran sehingga 100 sehari, dan meninggalkan bungkusan di luar kompleks perumahan untuk mengelakkan sentuhan langsung.