Teh Kampung Taiji Tembusi Pasaran Antarabangsa

2022-03-23 14:13:02  CRI
Share with:

Di kampung Taiji, provinsi Guizhou, para petani sedang sibuk memetik daun teh di kawasan bukit pada musim bunga ketika ini.

Industri teh yang berkembang maju di kampung itu pada beberapa tahun kebelakangan ini berjaya menjana pendapatan penduduk tempatan.

Terletak di kawasan pedalaman pergunungan Wumeng, kampung Taiji yang beriklim sederhana dengan ketinggian antara 800 hingga 1,300 meter dari paras laut mempunyai persekitaran sesuai untuk pertumbuhan pokok teh.

Meskipun terdapat 10 ribu pokok teh yang berusia lebih seratus tahun di situ, namun industri teh pernah gagal dimajukan sebelum ini akibat faktor kelemahan pengurusan dan kekurangan teknologi.

Pada tahun 2015, sebuah koperasi ditubuhkan oleh beberapa belia tempatan bagi memacu industri teh.

Koperasi itu mengambil alih pengurusan terhadap lebih 20 ribu pokok teh kuno dengan bayaran RMB800 (kira-kira RM530) sebatang pokok, kemudian mempelawa pakar untuk memberi bimbingan kepada kaum tani bagi menghasilkan daun teh yang bermutu.

Sebuah bengkel yang dilengkapi fasiliti untuk pemprosesan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) turut ditubuhkan bagi membangunkan jenama teh milik sendiri.

Dengan menggunakan mod operasi yang menyepadukan koperasi dengan kaum tani, industri teh berjaya dimajukan di 13 buah kampung dan menjana pendapatan untuk lebih 2,000 penduduk tempatan.

Pada tahun lepas, produk teh keluaran koperasi itu merekodkan jualan lebih RMB14 juta (kira-kira RM9.27 juta).

Pasarannya bukan sahaja meliputi beberapa bandar domestik seperti Beijing dan Guangzhou, malah turut berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk di Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura.