Tianzhou-2 Dipisahkan dari Modul Teras Stesen Angkasa China

2022-03-28 14:28:23  CRI
Share with:

Kapal angkasa kargo China Tianzhou-2 dipisahkan dari modul teras Stesen Angkasa Tianhe selepas menyelesaikan semua tugas, lapor Agensi Angkasa Lepas Bermanusia China (CMSA), pada Ahad.

Untuk rekod, Tianzhou-2 adalah kapal angkasa kargo China pertama yang dihantar ke angkasa dalam fasa menentusahkan teknologi utama stesen angkasa negara ini.

Kapal  kargo  tersebut dilancarkan dari pusat pelancaran Wenchang, provinsi Hainan pada 29 Mei 2021 untuk misi penghantaran bekalan seberat 6.8 tan ke modul teras kapal angkasa Tianhe.

 

Semasa operasinya di Orbit, beberapa siri ujian aplikasi berjaya dijalankan termasuk memisahkan kapal kargo dari pangkalan cantum belakang Tianhe dan kemudiannya dicantumkan dengan pangkalan cantum bahagian depannya pada 18 September; lengan robot yang terpasang pada stesen angkasa menyambar dan memindahkan  kapal kargo pada 6 Januari; dan angkasawan mengendalikan kapal kargo dicantum dengan stesen angkasa lepas melalui alat kawalan jarak jauh pada 8 Januari.

Kapal kargo kini berada dalam keadaan baik, dan akan memasuki atmosfera Bumi pada masa yang sesuai di bawah kawalan dari Bumi.

 

Ia secara tidak langsung turut menandakan bahawa tiga angkasawan China yang telah bertugas di angkasa lepas selama lebih lima bulan akan balik ke Bumi.

Sepanjang keberadaan di angkasa, ketiga-tiga mereka telah melakukan aktiviti luar kenderaan dan berkesempatan mengadakan “Kuliah Tiangong” sebanyak dua kali serta menyelesaikan lebih dua puluh ujian saintifik.

 

Menurut ketua pereka bentuk projek aeroangkasa pembawa angkasawan, Zhou Jianping, mulai pada bulan Mei tahun ini, pembinaan stesen angkasa China akan diteruskan melalui pelancaran dua modul makmal, dua kapal pembawa angkasawan dan dua kapal kargo.

Difahamkan, enam angkawasan dijangka akan dihantar bertugas di angkasa lepas.

Menurut Kertas Putih Angkasa Lepas China 2021 yang diumumkan pada 28 Januari, pembangunan industri aeroangkasa merupakan komponen penting dalam strategi pembangunan keseluruhan negara China.

Jelas kertas putih itu lagi, China juga komited membangunkan sektor tersebut dengan berpegang pada prinsip penerokaan dan penggunaan angkasa lepas untuk tujuan aman bagi memberi perkhidmatan ke arah kesejahteraan manusia.