Kapal Dana Asing Pertama Berdaftar di Pelabuhan Yangpu China

2022-03-29 15:07:39  CRI
Share with:

Kapal tangki minyak Ma Yue milik Syarikat Perkapalan Xinle berjaya menyelesaikan prosedur penjelasan kastam di pelabuhan Yangpu, provinsi Hainan, China, pada Ahad.

Kapal ini disifatkan sebagai kapal dibiayai dana asing pertama yang mendaftar di pelabuhan itu, dan turut memperlihatkan daya tarikan pelabuhan perdagangan bebas Hainan.

Singapore Global Energy Overseas Pte. Ltd., syarikat pemilik Kapal Ma Yue dengan muatan 5,036 tan metrik bersikap optimis terhadap prospek perkembangan pelabuhan Hainan susulan daripada Pelan Induk Pembinaan Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan yang dikemukakan China pada Jun 2020.

Ia kemudiannya mendaftar dan menubuhkan Syarikat Perkapalan Xinle di Yangpu pada 11 Jun, 2021 bagi menembusi pasaran China.

Syarikat Perkapalan Xinle mengemukakan permohonan untuk mendaftarkan kapal Ma Yue di Pelabuhan Yangpu pada 2 Mac tahun ini, dan dua anak kapal warga Thailand pula memohon untuk sijil pengiktirafan visa pada 7 Mac dengan Pentadbiran Keselamatan Maritim Hainan.

Kedua-dua anak kapal itu menjadi anggota kru asing kumpulan pertama untuk bekerja di atas kapal yang didaftarkan di pelabuhan Yangpu China.

Untuk rekod, terdapat 412 perusahaan sektor industri perkapalan telah berdaftar di pelabuhan Yangpu pada masa ini.

Difahamkan, sebanyak 204 kapal telah berdaftar dengan jumlah muatan 8.97 juta tan metrik,  dan 33 kapal asing daripadanya didaftarkan di Pelabuhan Yangpu dengan jumlah muatan seberat 5.17 juta tan metrik, sekali gus meletakkan Hainan berada di tempat kedua di China dari segi pendaftaran jumlah kapal asing.

Selain itu, pelabuhan Yangpu mempunyai 18 laluan perkapalan luaran dan 21 laluan perkapalan domestik yang menghubungkan hampir semua pelabuhan di bandar sepanjang pantai China dan pelabuhan utama rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia, Singapura, Vietnam.

Kedamaian dan pembangunan merupakan aspirasi bersama China dengan negara-negara Asia Tenggara. Potensi pasaran permintaan domestik China akan menjadi penggerak penting pertumbuhan ekonomi global termasuk rantau Asia Tenggara.

Pembinaan Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan adalah kondusif dalam menggabungkan pasaran serta sumber antara China dan negara-negara Asia Tenggara, secara tidak langsung mendorong pertumbuhan ekonomi kedua-dua pihak.