Teknologi Digital Dorong PKS Terokai Pasaran Luar

2022-03-29 13:26:23  CRI
Share with:

Penularan pandemik COVID-19 menyaksikan sistem logistik global terjejas teruk akibat daripada peningkatan kos, kekurangan kontena dan kesesakan pelabuhan antarabangsa.

Meskipun begitu, ia secara tidak langsung menandakan bahawa sektor e-niaga rentas sempadan sedang berkembang pesat.

Data statistik kastam mendedahkan import dan eksport e-niaga rentas sempadan China pada 2021 telah mencecah RMB1.98 trilion (RM1.31 trilion), iaitu meningkat 15 peratus dengan jumlah eksport sahaja mencatat RMB1.44 trilion (RM954 bilion), iaitu peningkatan sebanyak 24.5 peratus.

Ketika ini, penggunaan data raya, pengkomputeran awan dan AI dalam platform digital untuk mengintegrasi semua data berkaitan rantai pembekalan perdagangan luar bukan sahaja meningkatkan keupayaan pengeluaran syarikat kecil dan sederhana (PKS), malah menurunkan kos pembuatan secara besar.

Naib Ketua Pengarah Pusat Interaksi Ekonomi Antarabangsa China (CCIEE), Wang Yiming menyatakan platform rantai pembekalan digital merupakan trend baharu pertumbuhan perdagangan antarabangsa.

Beliau berkata, ia sekali gus bakal menjadi dorongan penting terhadap pembangunan berkualiti tinggi perdagangan luar China.

"Platform pembekalan digital memberi kelebihan kepada ekonomi bidangan dan keupayaan penyusunan sumber tenaga yang kuat, serta menggabungkan pelbagai cara pengangkutan sehingga mampu menyelesaikan masalah dihadapi PKS dalam bidang logistik," ujar Wang.

Bagi Naib Ketua Pengarah CCIEE, Zhu Guangyao, perdagangan digital disifatkan sebagai sedang berkembang maju secara pantas, sementara proses globalisasi pula kian mendalam.

Beliau berpendapat bahawa pembangunan ekonomi digital China yang sihat dan berterusan membawa makna strategik khususnya ketika fasa kritikal apabila ekonomi dan politik antarabangsa mengalami pergolakan.

"China secara rasmi mengemukakan permohonan menganggotai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital (DEPA) pada November lepas.

"China perlu mendorong pembentukan order pertumbuhan ekonomi digital global dalam situasi baharu dengan menggubal peraturan," kata Zhu.