Sokong Kemerdekaan Taiwan Hanya Sia-sia

2022-03-30 11:24:13  CRI
Share with:


Cubaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengekang China dengan memberani-beranikan kumpulan pemisah “kemerdekaan Taiwan” atas nama menegakkan demokrasi, tidak pernah berjaya selama ini, dan tidak akan berjaya pada masa hadapan.

Amaran itu diberikan selepas laporan bahawa Presiden Endowmen Demokrasi Nasional (NED), Damon Wilson mengetuai delegasi ke Taiwan bermula 27 hingga 30 Mac, dengan keputusan menganjurkan Perhimpunan Global “Pergerakan Dunia untuk Demokrasi” di Taipei pada Oktober depan.

Jurucakap Kementerian Luar Wang Wenbin mengkritik keras lawatan Wilson itu dilakukan dengan mempergunakan demokrasi.

“Ketua NED itu tidak membawa resipi yang baik untuk demokrasi di Taiwan, sebaliknya membekali racun pemisahan,” katanya kepada media semasa taklimat harian di Beijing pada Selasa.

Wang menyatakan, NED mendakwa dirinya sebagai pertubuhan bukan kerajaan dan tidak mementingkan keuntungan, sebenarnya dibiayai Kongres AS dan Rumah Putih.

Atas nama demokrasi, pertubuhan itu terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang memalukan di serata dunia, seperti penyusupan nilai, subversi dan sabotaj pentadbiran negara lain, hasutan gerakan antikerajaan dan lain-lain.

Memetik data laman sesawang NED, Wang berkata pertubuhan berkenaan pada 2020 memperuntukkan sebanyak AS$10 juta kepada hampir 70 projek berkaitan China dengan niat menjejaskan kestabilan politik dan sosial negara ini.