Wang Yi dan Sergey Lavrov Bincang Hubungan Kedua-dua Negara

2022-03-31 14:56:35  CRI
Share with:

China bersedia bersama-sama Rusia untuk mendorong hubungan ke tahap yang lebih tinggi pada zaman serba baharu ini dengan berdasarkan konsensus penting dicapai pemimpin kedua-dua negara.

 

Demikian ujar Menteri Luarnya, Wang Yi ketika mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Sergey Lavrov yang menghadiri Sidang Menteri Luar Negara Jiran Afghanistan ke-3 di Tunxi, provinsi Anhui, pada Rabu.

 

Beliau menekankan bahawa China sentiasa menyokong multiliteralisme dunia, demokrasi hubungan antarabangsa, melindungi Piagam PBB dan tertib asas hubungan antarabangsa serta berpendirian objektif dalam hal ehwal antarabangsa.

 

Menurut Wang, kerumitan isu Ukraine bukan sahaja tercetus daripada percanggahan keselamatan Eropah yang terhimpun sejak sekian lama, malah ia juga akibat daripada pemikiran Perang Dingin dan konfrontasi kumpulan.

 

"Oleh itu, China menyokong Rusia dan Ukraine terus mengadakan rundingan dengan mengatasi kesukaran, menyokong hasil positif dicapai melalui rundingan yang sudah dilakukan, menyokong ketegangan situasi diredakan secepat mungkin, menyokong usaha Rusia dan pelbagai pihak terbabit untuk mencegah krisis kemanusiaan.

 

"Kita perlu mengambil iktibar daripada krisis Ukraine, memberi perhatian terhadap keselamatan pelbagai pihak yang rasional berdasarkan prinsip saling hormat dan 'keselamatan yang tidak boleh dipisahkan', sehingga mewujudkan kerangka keselamatan Eropah yang seimbang, berkesan dan mampan," kata beliau.

 

Sementara itu, Lavrov pula menyatakan pihaknya bersedia bersama-sama China untuk melaksanakan konsensus penting dicapai pemimpin kedua-dua negara, meneruskan kerjasama strategik yang bertaraf tinggi, sekali gus mengintensifkan kerjasama saling untung dalam pelbagai bidang.

 

Pada masa sama, pihaknya akan bersama-sama China untuk mendorong proses multilateralisme, menentang hegmoni dan melindungi prinsip Piagam PBB.

 

"Rusia sedang berusaha meredakan ketegangan situasi melalui rundingan damai dengan Ukraine di samping mengekalkan interaksi dengan masyarakat antarabangsa," tambah Lavrov.

 

Kedua-dua menteri luar ini turut bertukar-tukar pandangan dan menyelaraskan pendirian tentang hal ehwal melibatkan situasi Asia Pasifik, Semenanjung Korea, BRICK, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan Mesyuarat tentang Interaksi dan Tindakan Pembangunan Keyakinan Asia (CICA) dalam perbincangan kali ini.