Prestasi Ekonomi China Dijangka Kekal Utuh

2022-04-01 12:23:25  CRI
Share with:

Prestasi ekonomi China akan kekal utuh secara keseluruhan dalam jangka masa panjang.

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin dalam sidang akhbar pada Khamis sebagai respons terhadap artikel yang diterbitkan kumpulan pemikir terkenal iaitu Institut Peterson untuk Ekonomi Antarabangsa, baru-baru ini.

Menurut artikel itu, Pelaburan Langsung Asing (FDI) China meningkat 30 peratus kepada USD334 bilion(RM1.406 trilion) pada tahun 2021, iaitu satu perlima daripada jumlah keseluruhan FDI global pada tahun itu, sekali gus menjadikan pasaran China sebagai pilihan utama bagi kebanyakan syarikat asing di China.

Wang Wenbin berkata, ini menunjukkan keyakinan penuh pelabur asing terhadap pembangunan ekonomi dan suasana perniagaan di China. 

“Kerajaan China mengurangkan senarai negatif akses pasaran firma asing dan terus mewujudkan persekitaran terbuka untuk mereka. Semua ini telah memberi manfaat kepada syarikat asing di China.

“Kaji selidik oleh Dewan Perniagaan Amerika Syarikat di China (AmCham China) baru-baru ini menunjukkan bahawa 66 peratus syarikat anggota pertubuhan itu merancang untuk meningkatkan pelaburan di China dengan 83 peratus daripada mereka tidak bercadang untuk mengeluarkan pembuatan atau pemerolehan keluar dari China.

“Kaji selidik berhubung keyakinan perniagaan yang dijalankan  Dewan Perniagaan Kesatuan Eropah di China sebelum ini juga menunjukkan bahawa hanya 9 peratus responden mempertimbangkan memindahkan pelaburan mereka dari China, yang merupakan kadar terendah dalam sejarah,” kata Wang.

Jelas beliau, di sebalik situasi dan cabaran baharu yang dihadapi oleh seluruh dunia, ekonomi China tetap berprestasi baik untuk dua bulan pertama tahun 2022 dengan FDI mencatat USD37.86 bilion (RM159.4 bilion) yang meningkat 45.2 peratus berbanding tempoh sama 2021.

“China akan terus menyediakan peluang kepada syarikat asing yang melabur di negara ini dan membawa lebih banyak tenaga positif kepada pertumbuhan ekonomi global yang mantap dan sihat,” kata Wang.