Xi Dengar Laporan Berhubung Nahas Pesawat MU5735

2022-04-01 13:21:24  CRI
Share with:


Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) bermesyuarat pada Khamis untuk mendengar laporan mengenai pengurusan nahas pesawat China Eastern Airlines MU5735 serta membuat persiapan untuk tindakan susulan.

Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC, Xi Jinping mempengerusikan mesyuarat itu dan menyampaikan ucapan.

Antara perkara sangat ditekankan dalam mesyuarat tersebut adalah seperti segala urusan pasca kemalangan perlu ditangani secara teliti berasaskan prinsip “rakyat diutamakan, jiwa didahulukan”.

Kerja mengemas dan menyerahkan barang-barang peribadi mangsa kepada ahli keluarga akan diteruskan demi menjaga maruah si mati dan menunjukkan simpati kepada keluarga berkenaan.

Selain itu, kerajaan akan memastikan segala bantuan dan kemudahan disalurkan kepada keluarga waris mangsa.

Pihak-pihak terbabit diarahkan supaya bersinergi untuk menjalankan siasatan yang lengkap, teratur dan saintifik, dengan membabitkan pakar dalam pelbagai bidang membantu menganalisis data penerbangan dan bukti material secara komprehensif, hingga mengenal pasti punca nahas secepat mungkin.

Sehubungan itu, maklumat susulan hendaklah disiarkan secara terbuka, telus dan tepat pada masanya.

Dalam pada itu, pemain sektor berkenaan serata negara dituntut supaya mengambil pengajaran daripada kemalangan tersebut, di samping melancarkan pemeriksaan secara besar-besaran berhubung aspek keselamatan.