China, EU Diseru Suntik Kestabilan kepada Dunia

2022-04-01 22:29:05  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping mengadakan pertemuan secara maya dengan Presiden Majlis Eropah, Charles Michel dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen hari ini.

Xi dalam pertemuan itu berkata, tatkala wabak COVID-19 masih menular dan pemulihan ekonomi global berdepan pelbagai kesukaran, dunia menyaksikan pula tercetusnya krisis Ukraine.

Sebagai dua kuasa, pasaran dan tamadun utama dunia, China dan Eropah hendaklah memperkasakan komunikasi mengenai hubungan dua hala serta isu-isu berkaitan kedamaian dan pembangunan dunia.

Kedua-dua pihak perlu memainkan peranan konstruktif bagi membawa elemen kestabilan kepada situasi dunia yang kini bergolak.

Kata beliau, hubungan antara China dan Kesatuan Eropah (EU) menyaksikan perkembangan baharu, sementara kerjasama dua hala juga membuahkan hasil baharu biarpun mendepani cabaran dan kesulitan sejak tahun lepas.

Fakta membuktikan bahawa China dan EU mempunyai kepentingan bersama yang luas serta asas kerjasama yang kukuh.

Kedua-dua pihak perlu menjalankan kerjasama dan penyelarasan bagi menyelesaikan masalah dan merungkai cabaran.

Beliau berharap EU mengamalkan dasar yang bebas terhadap China, dan berusaha bersama untuk memantapkan hubungan antara kedua-dua pihak. 

Beliau turut menegaskan China dan EU perlu berperanan sebagai dua kuasa utama bagi memelihara kedamaian dunia, menjadi dua pasaran besar yang memacu pembangunan bersama, di samping tampil sebagai dua tamadun penting bagi mendorong kemajuan umat manusia.

Charles Michel dan Ursula von der Leyen pula berkata, EU dan China mengekalkan hubungan saling untung sejak sekian lama, di samping komited mempertahankan kedamaian dan multilateralisme.

Mereka juga menyatakan kesediaan pihaknya untuk memperdalam kerjasama dengan China dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, tenaga dan pembangunan hijau, sambil bersama menangani pelbagai cabaran global termasuk penularan wabak COVID-19, perubahan iklim dan perlindungan biodiversiti.

Kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pendapat mengenai situasi Ukraine.

Dalam pada itu, Xi berkata, China sentiasa berdiri di sebelah kedamaian dan membuat keputusan secara bebas berdasarkan merit suatu hal.

Beliau turut mengemukakan cadangan bagi menangani krisis Ukraine, termasuk mendorong perdamaian menerusi rundingan, mencegah tercetusnya krisis kemanusiaan yang lebih teruk, mewujudkan kedamaian berkekalan di Eropah dan benua Eurasia, dan mencegah konflik serantau daripada terus merebak.