Isu Ukraine: Wang Yi, Dmytro Kuleba Bincang Perkembangan Terkini

2022-04-05 13:35:10  CRI
Share with:

Menteri Luar China, Wang Yi dan rakan sejawatnya dari Ukraine, Dmytro Kuleba saling bertukar-tukar pandangan berhubung situasi semasa di Ukraine menerusi panggilan telefon, pada Isnin.

 

Wang pada awal perbualan menzahirkan penghargaan kepada Ukraine atas pertolongan mengeluarkan warga China dari negara itu dengan selamat.

 

Menurut beliau, pendirian asas China dalam isu Ukraine adalah mencapai keamanan dan mendorong rundingan.

 

"China tidak mengejar sebarang kepentingan peribadi geopolitik dalam isu Ukraine, mahupun menngapi-apikan situasi menjadi lebih tegang lagi," kata Wang.

 

Tegas beliau, keamanan merupakan satu-satunya objektif pihak China dan China turut mengalu-alukan rundingan Rusia-Ukraine agar mencapai keamanan walaupun menghadapi masalah dan perselisihan besar.

 

Wang berkata, dialog yang adil hanya akan wujud sekiranya semua pihak memegang prinsip 'keselamatan yang tidak boleh dipisahkan' serta mekanisme keselamatan Eropah yang seimbang, berkesan dan mampan.

 

"China bersedia terus memainkan peranan yang membina, dan sentiasa mempercayai bahawa Ukraine akan membuat pilihan yang selaras dengan kepentingan asas rakyat sendiri," tambahnya lagi.

 

Sementara itu, Kuleba menyatakan China merupakan kekuatan positif yang penting dalam melindungi keamanan.

 

Justeru katanya, Ukraine mengambil berat pengaruh antarabangsa China, dan bersedia mengekalkan interaksi dengan China serta berharap China untuk terus memainkan peranan penting dalam penamatan peperangan.
 

Kuleba berkata, pihaknya masih berusaha mengadakan rundingan dengan Rusia agar dapat mencari langkah penyelesaian.