Protokol Naik Taraf FTA China-New Zealand Berkuatkuasa

2022-04-07 13:31:01  CRI
Share with:

 

Protokol Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) China-New Zealand berkuatkuasa secara rasmi, hari ini.

Difahamkan, FTA yang dinaiktaraf tersebut akan memperkukuh perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, selain melonjakkan hubungan ekonomi dan perdagangan China-New Zealand ke satu tahap yang lebih tinggi.

Untuk rekod, FTA China-New Zealand telah ditandatangani pada April 2008 dan berkuatkuasa secara rasmi pada Oktober tahun yang sama.

Ia adalah FTA komprehensif dua hala pertama yang ditandatangani oleh China meliputi dagangan barangan, dagangan perkhidmatan, pelaburan dan banyak sektor lain, selain merupakan FTA pertama antara China dengan negara maju.

Pada 2021, China dan New Zealand menandatangani protokol naik taraf berdasarkan perjanjian asal yang menyaksikan kandungan klausa diperluas, dan taraf pembukaan ditingkatkan lagi.

Pada tahun tersebut juga, jumlah perdagangan China-New Zealand merekodkan USD24.72 bilion, sekali gus menjadi rekod tertinggi dalam sejarah.

Angka itu menyaksikan peningkatan 36.4 peratus berbanding 2020, iaitu 5.6 kali ganda daripada jumlah perdagangan dua hala pada permulaan pemeteraian FTA China-New Zealand pada 2008.

Dalam perjanjian asal, China telah mengenakan tarif sifar ke atas 97 peratus produk dari New Zealand, mankala dalam protokol yang dinaiktaraf kali ini, China komited untuk menghapuskan tarif secara berperingkat ke atas sesetengah produk kayu dan kertas, sementara New Zealand pula telah mewujudkan tarif sifar ke atas semua produk import dari China.

Sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-New Zealand, pelaksanaan protokol naik taraf akan membantu kedua-dua negara untuk merapatkan lagi kerjasama ekonomi dan perdagangan, mengeluarkan dividen dasar pembukaan peringkat tinggi, menggalakkan liberalisasi dan kemudahan perdagangan dan pelaburan dua hala, selain terus memperkaya kandungan hubungan perkongsian strategik komprehensif China-New Zealand.

Dalam pada itu, penguatkuasaan rasmi protokol naik taraf itu mencerminkan komitmen bersama China dan New Zealand untuk mempergiat kerjasama perdagangan bebas, melonjakkan hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala ke satu tahap yang lebih tinggi, serta menyumbang kepada pemulihan ekonomi dunia pasca pandemik.