Interaksi Tamadun China-Afrika Dapat Pujian

2022-04-11 14:54:36  CRI
Share with:

Interaksi dan saling mempelajari tamadun Afrika dan China bukan sahaja memberi manfaat antara satu sama lain bahkan seluruh dunia turut memperoleh faedahnya.


Beberapa diplomat Afrika ke China berkongsi pendapat seumpama ketika berucap dalam Persidangan Dialog Tamadun China-Afrika edisi pertama yang berlangsung secara hibrid pada Sabtu.


Wakil Tetap Kesatuan Afrika (AU) ke China, Rahamtalla M. Osman menyifatkan tamadun Afrika dan China mengandungi ciri-ciri kolektivisme dan pemikiran tentang simbiosis harmoni manusia dengan alam.


"Titik persamaan ini menjadikan interaksi tamadun kedua-dua pihak bercirikan sama rata, aman dan bersahabat.


"Ia sangat penting dalam konteks dunia sedang mendepani situasi kompleks dan mencabar ketika ini," ujar beliau.


Duta Ethiopia ke China, Teshome Toga Chanaka pula berkata, kerjasama muhibah Afrika-China adalah berlandaskan kesalingpercayaan politik.


"Afrika dan China saling menghormati isu-isu berkaitan kepentingan teras, berkongsi hasil kerjasama, dan berganding bahu menghadapi cabaran.


"Maka, ikatan muhibah dan kolaborasi kedua-dua pihak pasti akan terus berkembang maju," katanya.


Bertemakan "Interaksi Tamadun Galak Pembentukan Komuniti Berkongsi Nasib China-Afrika pada Era Baharu", persidangan tersebut bertujuan membina platform baharu bagi memantapkan pertukaran sosiobudaya, sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan.