Xi: Bina Tapak Pelancaran Kapal Angkasa Lepas Bertaraf Dunia

2022-04-14 22:03:09  CRI
Share with:


Presiden China, Xi Jinping mengadakan tinjauan ke tapak pelancaran kapal angkasa lepas di Wenchang, provinsi Hainan pada Selasa lalu.

Setelah mendengar taklimat tentang tapak pelancaran tersebut, Xi telah meninjau kemudahan dan fasiliti di sana seperti menara pelancaran.

Tapak pelancaran Wenchang telah berjaya menjalankan siri misi pelancaran yang penting termasuk penerbangan sulung roket Long March-5 dan Long March-7, menghantar modul teras Tianhe stesen angkasa, prob eksplorasi bulan Chang'e-5, dan modul penjelajah Marikh Tianwen-1 ke angkasa lepas, serta mencipta rekod sebuah roket menghantar 22 satelit.

Xi memberikan pujian terhadap kejayaan cemerlang yang dicapai di tapak pelancaran tersebut.

Beliau menyatakan bahawa Wenchang ialah tapak pelancaran untuk roket pembawa tolakan tinggi generasi baharu China, pangkalan terdepan eksplorasi China ke angkasa lepas dalam, dan mempunyai kedudukan dan peranan yang amat penting dalam sistem aeroangkasa China. Kakitangan di tapak itu dinasihatkan menyemarakkan semangat "dua bom, satu satelit" dan semangat penerbangan angkasa lepas pembawa angkasawan, memenuhi keperluan pembangunan aeroangkasa dunia dan keperluan strategik penting penerbangan angkasa China, menggalas tanggungjawab, berani untuk menjalankan inovasi, meningkatkan keupayaan pelancaran angkasa lepas moden secara menyeluruh, dan berusaha untuk membina tapak pelancaran kapal angkasa lepas bertaraf dunia.

Menurut rancangan, China akan menyelesaikan misi pembinaan stesen angkasa lepas pada tahun ini. Kapal kargo Tianzhou-4 dan Tianzhou-5 serta modul eksperimen Wentian dan Mengtian akan dilancarkan di Wenchang.

Oleh itu Xi menyatakan bahawa tapak itu perlu membuat persiapan penuh untuk menjayakan misi-misi pelancaran tersebut.