Canton Fair ke-131 Buka Tirai

2022-04-15 14:38:54  CRI
Share with:

Pameran Import dan Eksport China atau “Canton Fair” edisi ke-131 membuka tirainya secara dalam talian di sini, hari ini.

Acara tahunan itu menawarkan platform mempertontonkan produk secara maya, perkhidmatan penyelarasan urus niaga dan zon e-dagang rentas sempadan, melibatkan 50 ruang pameran yang menghimpunkan 16 kategori produk.  

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pusat Perdagangan Luar China (CFTC), Xu Bing, sejumlah 2.9 juta produk didaftar untuk dipamerkan, mencipta rekod tertinggi dari segi kuantiti.

"Antaranya termasuk sebanyak 120,000 produk pintar, 490,000 produk rendah karbon dan 250,000 produk dengan hak harta intelek," jelas beliau.

Canton Fair kali ini akan terus membantu perusahaan memanfaatkan pasaran serta sumber domestik dan antarabangsa untuk melebarkan sayap mereka, sekali gus memantapkan perdagangan luar.

Menurut Xu, pihak penganjur akan terus mempergiat pelan rakan kongsi global, termasuk mengikat kerjasama dengan 14 buah institusi perniagaan dari negara terlibat Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Bertemakan “memperlicin dwikitaran pasaran domestik dan antarabangsa”, pameran berkenaan disertai 25,500 perusahaan dari dalam dan luar negeri.