Asia Pasifik Bukan Papan Catur untuk Saingan Kuasa Besar

2022-04-19 13:27:21  CRI
Share with:

Asia Pasifik merupakan tanah yang menjanjikan kerjasama dan pembangunan, bukan papan catur untuk persaingan kuasa besar.

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, sebagai respons terhadap laporan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dijadualkan bertemu dengan pemimpin ASEAN di Washington pada pertengahan Mei.

Mengulas mengenai Biden, tuan rumah sidang kemuncak khas AS-ASEAN nanti, Wang mengibaratkan negara anggota blok itu sebagai pemain catur yang berperanan penting dalam mendorong pembangunan dan kemakmuran serantau, bukan anak catur yang digunakan dalam persaingan geopolitik.

"Pada masa ini, rantau Asia Pasifik menikmati keamanan, kestabilan dan pembangunan, yang harus dihargai semua pihak.

"Kami (China) berharap pihak AS dapat bertindak dengan mengambil kira tuntutan negara Asia Pasifik yang inginkan kedamaian, kolaborasi dan keuntungan bersama,” katanya semasa taklimat harian di Beijing pada Isnin.

Beliau turut mengingatkan Washington untuk menghormati sistem politik, laluan pembangunan serta budaya dan nilai negara Asia apabila melibatkan diri dalam kerjasama rantau Asia Timur.

"Selain mengikut cara ASEAN yang menampilkan keterbukaan, keterangkuman dan pendekatan berasaskan konsensus, AS harus menepati janjinya untuk menyokong kepusatan ASEAN menerusi tindakan praktikal,” tambah beliau.