Stesen Angkasa Lepas China Alu-alu Kehadiran Angkasawan Asing

2022-04-19 12:33:25  CRI
Share with:


Angkasawan asing dialu-alukan untuk menjejak kaki ke stesen angkasa lepas China.

Jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin menyatakan, kerjasama antarabangsa merupakan trend pembangunan industri aeroangkasa.

“Penerokaan misteri alam semesta dan pembangunan teknologi angkasa lepas merupakan aspirasi dikongsi seluruh umat manusia, yang memerlukan kolaborasi negara-negara,” katanya semasa taklimat harian di Beijing pada Isnin.

Wang berkata, sejak pelaksanaan misi ke angkasa lepas dengan kehadiran manusia, China menuruti prinsip penggunaan bagi tujuan damai, sama rata, saling untung dan membangun bersama.

“Kami (China) menandatangani perjanjian dan menjalankan program kerjasama dalam pelbagai bentuk dengan Perancis, Jerman, Itali, Rusia dan Pakistan serta badan-badan antarabangsa, dengan beroleh hasil yang memberangsangkan,” ujarnya.

Menurut beliau, stesen angkasa lepas China merupakan program seumpama pertama yang dibuka kepada semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Setakat ini, terdapat sembilan projek dari 17 negara dan 23 entiti disenarai sebagai kumpulan pertama projek terpilih untuk eksperimen sains di stesen angkasa China,” jelas beliau.

Wang turut memaklumkan, China sedang mengusahakan projek kerjasama  berkenaan bersama Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Ruang Angkasa (UNOOSA), yang diharap bakal menyaksikan permulaan eksperimen dan penyelidikan dalam angkasa pada penghujung tahun ini.