Momentum Pertumbuhan Ekonomi China Tidak Berubah

2022-04-19 14:58:30  CRI
Share with:

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China pada suku pertama 2022 mencatat RMB27 trilion (RM17 trilion), iaitu meningkat 4.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, dan naik 1.8 peratus berbanding suku keempat tahun lalu.

Menurut jurucakap Jabatan Statistik Negara (NBS), Fu Linghui pada Selasa, ekonomi domestik tahun ini berdepan dengan impak yang amat besar ekoran situasi antarabangsa, serta penularan wabak dalam negara.

Bagaimanapun, kerajaan pusat dan tempatan giat menstabilkan ekonomi makro, menangani risiko dan cabaran secara berkesan, sehingga mewujudkan pemulihan berterusan dan pemantapan ekonomi pada permulaan tahun ini.

Pada suku pertama 2022, jumlah import eksport meningkat 10.7 peratus, manakala penggunaan pelaburan langsung asing (FDI) pula melambung 25.6 peratus.

Sementara itu, Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat 1.1 peratus. Walaupun indeks terbabit meningkat 1.5 peratus pada Mac, iaitu lebih tinggi daripada bulan sebelumnya, namun ia masih berada dalam julat yang munasabah.

Selain itu, sebanyak 2.85 juta peluang kerja disediakan di dalam dan luar bandar, dengan kadar pengangguran seluruh negara berada pada kadar 5.5 peratus secara purata, iaitu 0.1 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Kerajaan China telah mengurangkan kadar cukai dan yuran, memperhebat sokongan terhadap ekonomi sebenar, supaya membantu perusahaan mengatasi kesukaran, mewujudkan pembangunan serta menstabilkan pekerjaan.

"Di samping itu, langkah yang diambil bagi menggalakkan pemulaan perusahaan baharu dan amalan inovasi juga kondusif bagi pertambahan peluang kerja.

"Latihan kemampuan vokasional dan bantuan pekerjaan berfaedah bagi penyelarasan antara permintaan dan bekalan di pasaran," kata Fu.

Beliau berkata, kelancaran logistik adalah asas penting bagi beroperasinya ekonomi secara sihat, termasuk rantaian perindustrian dan bekalan barangan keperluan seharian rakyat.

Fu berkata, China akan terus melancarkan pencegahan dan kawalan wabak, mempergiat jaminan kelancaran, menumpukan kepada langkah yang pragmatik untuk mendinamikkan ekonomi.