Kerjasama Keselamatan China-Kepulauan Solomon Selaras Kepentingan Bersama

2022-04-20 12:43:44  CRI
Share with:


Kerjasama keselamatan antara China dengan Kepulauan Solomon selaras dengan kepentingan bersama pihak terbabit serta rantau Pasifik Selatan.

Pendirian itu ditegaskan menerusi jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin semasa taklimat akhbar di Beijing pada Selasa.

Mengulas mengenai objektif kerjasama berkenaan, Wang menjelaskan bahawa ia bertujuan menggalakkan keamanan dan kestabilan berkekalan di Kepulauan Solomon.

“Ia merupakan pertukaran dan kerjasama yang normal antara dua buah negara merdeka dan berdaulat,” katanya.

Wang menyifatkan kolaborasi berkenaan sebagai komponen utama dalam memantapkan ikatan menyeluruh.

“Kerjasama itu adalah bersandarkan kepada prinsip sama rata dan saling untung, dengan menghormati kehendak dan keperluan sebenar,” ujarnya.

Difahamkan, kedua-dua pihak akan menjalankan kerjasama dalam bidang seperti mengekalkan ketenteraman awam, menjaga keselamatan nyawa dan harta benda, menyediakan bantuan kemanusiaan serta menangani bencana alam, sekali gus membantu Kepulauan Solomon mengukuhkan kemampuan memelihara keselamatan sendiri.

Apabila ditanya berhubung Washington merancang menghantar pegawai kanan berkunjung ke Kepulauan Solomon, Wang membalas dengan mempersoalkan motif sebenar Amerika Syarikat (AS) kerana kedutaannya di negara itu sudah ditutup selama 29 tahun.

“Pegawai AS tiba-tiba berminat untuk melawat ke negara kepulauan Pasifik. Adakah mereka benar-benar mengambil berat akan negara berkenaan ataupun memiliki niat tersembunyi,” kata Wang.

Beliau memberi amaran kepada Washington bahawa negara kepulauan Pasifik bukan halaman belakang milik sesiapa atau buah catur digunakan dalam persaingan geopolitik.

“Negara di rantau Pasifik Selatan mempunyai keperluan sebenar untuk mempelbagaikan kerjasama dengan negara lain dan berhak untuk memilih rakan kongsi secara bebas.

“Cubaan membangkitkan suasana ketegangan dan mencetuskan konfrontasi sesama blok takkan mendapat sokongan di rantau ini, dan campur tangan untuk menghalang kerjasama negara terbabit dengan China menjadi sia-sia saja,” tegas Wang.