RCEP, Penggerak Baharu Kerjasama Ekonomi Asia

2022-04-21 14:07:43  CRI
Share with:

Sejak berkuat kuasa pada awal tahun ini, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) telah memainkan peranan penting dalam menggalakkan pemulihan ekonomi, kemakmuran dan pembangunan pelbagai negara anggota serta mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini.   

Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin dalam sesi taklimat pada Rabu berkata, RCEP telah memberikan manfaat kepada syarikat dan rakyat di semua negara yang terlibat. 

Statistik terkini menunjukkan, jumlah import dan eksport antara China dengan 14 negara anggota pada suku pertama tahun ini meningkat 6.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Pada masa yang sama, jumlah tersebut menduduki 30.4 peratus dalam jumlah keseluruhan perdagangan luar China. 

Dalam perkembangan lain, para tetamu dari dalam dan luar negara juga memberikan penghargaan atas peluang baharu yang dibawa RCEP pada sub-forum bagi sidang tahunan Forum Asia Boao yang diadakan pada Rabu. 

Bekas Naib Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP), Dr. Shamshad Akhtar bersependapat bahawa RCEP akan menggalakkan perdagangan serantau. 

Menurut mereka, ia berikutan terdapat banyak elemen baharu yang meliputi Peraturan Tempasal, langkah mempermudahkan pelaburan dan perdagangan, perlindungan terhadap hak harta intelek dan e-dagang. 

Bekas Timbalan Perdana Menteri Singapura, Wong Kan Seng pula berpendapat, meskipun dibadai pandemik COVID-19 pada dua tahun lalu, rantau Asia Pasifik tetap merupakan kawasan yang pertumbuhan ekonomi paling pesat di dunia, dan turut menyumbang kepada pemulihan ekonomi global.