CAAC Siar Laporan Siasatan Awal Berhubung Nahas Pesawat MU5735

2022-04-21 13:26:10  CRI
Share with:


Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) menyiarkan laporan siasatan awal mengenai nahas pesawat China Eastern Airlines MU5735, pada Rabu.

Siasatan awal mendapati, kelayakan kru penerbangan dan kabin serta kakitangan penyelenggaraan memenuhi keperluan, manakala sijil kelayakan terbang pesawat dalam kemalangan adalah sah.

Menurut CAAC, tiada laporan kesalahan sebelum penerbangan dilakukan, dan tidak ada barangan berbahaya di dalam kargo.

Selain itu, tiada masalah dialami pada peralatan navigasi dan pemantauan, begitu juga tiada amaran cuaca bahaya yang dikeluarkan.

Pesawat berkenaan dilengkapi dengan dua perakam penerbangan iaitu suara kokpit dan penjejak data penerbangan di kabin penumpang belakang.

Pengawal selia penerbangan awam itu berkata, peranti berkenaan mengalami kerosakan teruk akibat impak dan kerja pemulihan dan analisis data masih dijalankan.

Difahamkan, pasukan penyiasat akan meneruskan kerjanya, termasuk pemeriksaan serpihan dan analisis data penerbangan, sehingga mengetahui punca kemalangan.

Pada 21 Mac, pesawat Boeing 737-800 milik syarikat penerbangan China Eastern Airlines yang membawa 123 penumpang dan sembilan kru, terhempas di kawasan sekitar kampung Molang berhampiran bandar Wuzhou di wilayah Guangxi.