RCEP Rancakkan Kerjasama Serantau Asia Pasifik

2022-04-22 12:55:29  CRI
Share with:

Setelah lebih seratus hari berkuatkuasa, dividen Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kini jelas kelihatan.

Menurut data statistik dari Kastam China, jumlah import eksport antara China dengan 14 negara melebihi RMB2 trilion (RM1.33 trilion) pada suku pertama 2022, meningkat 6.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu menyumbang 30.4 peratus kepada perdagangan luar China.

Daripada jumlah tersebut, kadar pertumbuhan perdagangan dengan Malaysia, Korea Selatan dan New Zealand berjaya mewujudkan angka dua digit.

Menurut Laporan Tahunan 2022 Prospek Ekonomi Asia dan Proses Integrasi Forum Asia Boao (BFA) pula, RCEP yang dilihat sebagai mekanisme kerjasama yang menguntungkan pelbagai hala adalah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pertama yang merangkumi China, Jepun dan Korea Selatan, sekali gus menandakan langkah signifikan demi integrasi ekonomi serantau di Asia Timur.

Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP), Dr. Shamshad Akhtar berkata, RCEP yang merangkumi pasaran cukup besar telah menyediakan kebebasan dan kemudahan dalam perdagangan, pelaburan dan logistik, agar menggalakkan perkembangan perdagangan serantau.

Bagi Naib Ketua Institut Perdagangan Antarabangsa dan Kerjasama Ekonomi Kementerian Perdagangan China, Zhang Wei, corak rantaian bekalan global kini semakin dapat disesuaikan selepas RCEP berkuatkuasa.

Beliau berkata, ia susulan terdapatnya dasar "rules of origin" yang secara tidak langsung membolehkan perusahaan mengira kos dengan komprehensif, sehingga membentuk sistem pembahagian pekerjaan yang lebih rasional.

Pada Khamis, Presiden China, Xi Jinping dalam ucaptamanya pada majlis perasmian Sidang Tahunan BFA 2022 menyatakan bahawa kerjasama dan situasi menang-menang adalah jalan pembangunan Asia.

Beliau berkata, penguatkuasaan RCEP dan Landasan Kereta Api China-Laos yang telah beroperasi berjaya memperhebat kesalinghubungan dari sudut perisian dan perkakasan.

Xi menyeru benua terbabit untuk mengambil momentum tersebut dan membentuk pasaran terbuka yang lebih besar, serta merancakkan kerjasama dan mewujudkan situasi menang-menang.