Iltizam China Pertahan Kepentingan Negara Tidak Boleh Dipandang Remeh

2022-04-23 16:21:42  CRI
Share with:

China dan Amerika Syarikat (AS) perlu melaksanakan konsensus pemimpin kedua-dua negara dengan bersungguh-sungguh, di samping saling menghormati, hidup bersama secara damai dan mengelakkan konfrontasi.

Demikian dinyatakan Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe dalam perbincangan dengan rakan sejawatnya dari AS, Lloyd Austin menerusi panggilan telefon pada 20 April.
Ini juga merupakan perbincangan seumpama pertama sejak Lloyd Austin memegang jawatan Setiausaha Pertahanan AS.

Dalam pada itu, China berhasrat menjalin hubungan yang sihat dan mantap dengan AS, selain menyatakan iltizamnya untuk mempertahankan kepentingan dan maruah negara.

AS tidak boleh memandang rendah iltizam dan keupayaan China dalam hal tersebut.

Jalinan hubungan model baharu yang stabil dan sihat sesama kuasa besar antara sasaran strategik yang dikemukakan Presiden Xi Jinping. Antaranya “tidak berkonflik” dan “tidak berkonfrontasi” dianggap titik permulaan bagi hubungan China-AS.

Lloyd Austin pula menzahirkan hasrat AS untuk mendorong pelaksanaan konsensus penting yang dicapai pemimpin kedua-dua negara, dan memperkasakan pertukaran dan kerjasama ketenteraan dengan sikap jujur dan terbuka.

Pihak AS turut menegaskan pendiriannya dalam mematuhi dasar satu China.

Dalam konteks ini, AS patut bertindak sejajar kenyataannya dengan menghentikan segera sekatan terhadap China dalam bidang ekonomi dan teknologi, di samping menghentikan amalan berkonfrontasi dengan China menerusi pakatan seperti Quad yang terjalin dengan Jepun, India dan Australia.

AS juga perlu berhenti mencanangkan “teori ancaman China” dan tidak lagi memberi mesej salah kepada kuasa “kemerdekaan Taiwan”.