China Gesa Israel dan Palestin Kekal Sikap Bersabar

2022-04-26 12:45:19  CRI
Share with:

Israel dan Palestin digesa mengambil sikap bersabar bagi mengelakkan situasi daripada meruncing lagi sebelum hilang kawalan.

Demikian ujar Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun dalam perbahasan umum Majlis Keselamatan PBB, pada Isnin.

Menurut beliau, China membantah sebarang serangan yang menyasarkan rakyat jelata dan menentang sebarang tindakan yang bercanggah dengan situasi sejarah di tempat suci tersebut.

"Isu Palestin ialah teras isu Asia Barat. Tidak kira bagaimana situasi antarabangsa berkembang, isu Palestin tidak boleh diketepikan atau dilupakan.

"China menggesa Israel menghentikan tindakan merobohkan rumah rakyat Palestin, mengusir rakyat Palestin, memperluas kawasan penempatan Yahudi, selain menyediakan suasana baik bagi pembangunan komuniti penduduk Palestin di kawasan Tebing Barat," ujar Zhang.

Dalam pada itu, China menggesa sekatan terhadap Genting Gaza dibatalkan dengan secepat mungkin.

Beliau berkata, China menanti-nantikan interaksi peringkat tinggi antara Israel dengan Palestin diadakan bagi memulihkan rundingan damai secepat mungkin.

"Masyarakat antarabangsa digesa untuk mendorong kedamaian di Asia Barat berdasarkan resolusi PBB dan prinsip 'pertukaran tanah untuk perdamaian'," kata Zhang.

Beliau turut menegaskan bahawa China menyokong penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka sepenuhnya berdasarkan sempadan yang digariskan pada tahun 1967 dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Tambah Zhang, China juga menyokong kewujudan bersama Palestin dan Israel secara aman, dan pembangunan bersama dua bangsa Arab dan Yahudi.

"China akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk memberikan sumbangan demi penyelesaian isu Palestin secara menyeluruh dan adil," katanya lagi.