Pemuda 90-an Berdedikasi Terhadap Arkeologi

2022-04-29 11:11:37  CRI
Share with:

Tapak peninggalan Sanxingdui di wilayah Sichuan, barat daya China yang dipercayai wujud sekitar 3,000 hingga 5,000 tahun lalu, digelar sebagai salah satu penemuan arkeologi paling luar biasa dalam sejarah manusia sepanjang abad.

Pada 2021, lebih 500 serpihan artifak ditemukan semasa proses penggalian pusingan baharu dilakukan di tapak Sanxingdui.

Hasil daripada proses penggalian yang melibatkan enam lubang itu, ahli arkeologi berjaya mengenal pasti artifak penting termasuk arca gading miniatur, topeng emas, kerajang emas, topeng gangsa dan barangan tekstil.

Antara ahli arkeologi tersebut, ramai yang dilahirkan pada 1990-an. Dengan penuh dedikasi terhadap kajian arkeologi, mereka telah menjadi tonggak utama dalam merungkai misteri artifak yang tidak ternilai.

Xu Danyang, seorang ahli arkeologi yang dilahirkan pada 1995, mempunyai tugas menggali artifak dan menjalankan analisis pada setiap hari di tapak itu.

Antara kerja yang dilakukannya adalah termasuk mengorek tanah dengan penyodok, menyapu perlahan-lahan menggunakan berus, dan meletakkan tanda dengan pencungkil gigi.

Kemudiannya, beliau akan membuat pengukuran dan pemetaan serta mengambil fotograf, sebelum melakukan pengimbasan tiga dimensi untuk membuat rekod terperinci.

Yang Zhen, seorang lagi pemuda sebaya yang dipertanggungjawabkan melakukan kerja penggalian di lubang No.3 Sanxingdui, telah menyaksikan proses ekskavasi lebih seratus buah barang gangsa.

Semasa di bangku sekolah, Yang Zhen telah pun menyemai cita-cita untuk menjejak kaki dan mengembara ke banyak tempat, dan bekerja di bawah langit membentang.

Jurusan arkeologi kebetulan bertepatan dengan cita-citanya yang begitu bebas dan romantik. Walaupun kerjanya sibuk ke sana sini, namun beliau tekad mahu menjadikan arkeologi sebagai kerjaya sepanjang hayat.