Perjanjian Marrakesh Berkuatkuasa di China

2022-05-05 13:40:06  CRI
Share with:

Perjanjian Marrakesh yang bertujuan memberi kemudahan akses kepada pelbagai bahan bacaan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan berkuatkuasa di China mulai hari ini.

China antara negara kumpulan pertama yang menandatangani Perjanjian Marrakesh selepas ia diluluskan oleh Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) pada Jun 2013.

Pada November 2020, China telah menyelesaikan pemindaan terhadap Undang-undang Hak Cipta sebagai persiapan bagi penguatkuasaan perjanjian berkenaan.

Penguatkuasaan perjanjian itu bakal memberi jaminan lebih sempurna kepada OKU penglihatan yang berjumlah kira-kira 17.32 juta orang di China dalam memperoleh maklumat budaya serta pendidikan secara saksama.  

Menurut pegawai Jabatan Pentadbiran Hak Cipta Negara China (NCAC), pihaknya akan mengambil pelbagai inisiatif bagi mendorong pelaksanaan Perjanjian Marrakesh.

Ia termasuk menyempurnakan mekanisme sokongan, menggubal kaedah pelaksanaan yang sejajar dengan keadaan negara sendiri serta menstandardkan piawaian bahan bacaan yang dapat diakses OKU penglihatan.

Selain itu, NCAC juga komited memperkasa kerjasama dengan WIPO dan Accessible Books Consortium (ABC) bagi merancakkan pertukaran bahan bacaan Braille di arena antarabangsa.

Setakat ini, Perjanjian Marrakesh telah dimeterai oleh 84 pihak di dunia.