China Pacu Perbelanjaan Sempena Cuti Hari Pekerja

2022-05-06 15:48:59  CRI
Share with:

Sepanjang cuti umum Hari Pekerja yang baru berlalu, pelbagai inisiatif telah diambil untuk meneroka potensi perbelanjaan dan memperkaya percutian khalayak ramai, serentak dengan langkah membendung penularan pandemik COVID-19.

Sejak penghujung April, banyak tempat di China mengeluarkan baucar bagi merangsang perbelanjaan pengguna.

Antaranya, bandar raya Shenzhen menawarkan baucar bernilai 500 juta yuan (RM327.72 juta) kepada pengguna menerusi platform e-dagang.

Perbelanjaan di kawasan luar bandar menjadi tumpuan utama dalam tempoh cuti tersebut. 

Menurut statistik, jualan minuman kopi, snek kacang dan alatan rumah pintar mencatatkan peningkatan berterusan dalam pasaran pengguna kawasan desa.

Pada masa sama, jumlah pesanan produk pertanian khususnya sayur dan buah bermusim menerusi pelbagai platform e-niaga meningkat sekali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sebagai mematuhi peraturan kawalan wabak, kerajaan pelbagai tempat menasihatkan orang awam supaya tidak berhimpun dan berkelompok.

Lantaran itu, kaedah percutian khalayak pun berubah. Mereka memilih mendirikan khemah di taman desa atau menyewa kenderaan rekreasi (RV) untuk melakukan aktiviti luar.

Persantaian dengan mendekati alam semula jadi sudah menjadi kegemaran ramai sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, Beijing turut menghentikan perkhidmatan makan di dalam restoran bagi mengurangkan risiko pemerebakan wabak.

Banyak restoran menyediakan set hidangan pra-masak dan separuh siap untuk santapan seisi keluarga, dan platform pesanan makanan juga memperkenalkan perkhidmatan penghantaran tanpa sentuh bagi memenuhi keperluan penduduk.