Xi Galak Anak Muda Terus Maju, Gapai Impian Negara

2022-05-10 12:22:24  CRI
Share with:

Anggota Liga Belia Komunis China (CYLC) digalakkan untuk terus maju dalam perjalanan baharu ke arah merealisasikan impian kebangkitan nusa dan bangsa.

Harapan itu diluahkan Presiden Xi Jinping, yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) menerusi ucaptamanya ketika dijemput hadir ke majlis sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan CYLC di Dewan Besar Rakyat di Beijing, pagi tadi.

Xi menzahirkan betapa pentingnya peranan anak muda dalam pembangunan negara seiring peredaran zaman.

Menurut beliau, sejak 100 tahun lalu, warga liga tersebut tidak pernah melupakan aspirasi asalnya dan sentiasa berdiri teguh di sisi PKC, sehingga menyumbang bakti demi kemerdekaan bangsa, kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

"Dalam membicarakan perihal memperjuangkan matlamat Seratus Tahun kedua, pastinya keutamaan diletak kepada usaha memperkasa golongan belia, antaranya menyatupadukan mereka dan membangkitkan motivasi dan semangat mereka,” ujar Xi.

Generasi itu harus menyahut cabaran dan menggalas tanggungjawab sebagai barisan hadapan dalam memastikan impian negara dapat menjadi kenyataan.

Xi turut mengesyorkan supaya CYLC terus memupuk anak muda yang bervisi, berilmu, beramal dan berakhlak berpandukan bimbingan PKC, serta memikul tanggungjawab selaku peneraju dalam perjuangan berterusan membabitkan belia.

Presiden itu juga mahukan liga itu prihatin terhadap generasi muda dan mengoptiumumkan peranannya sebagai penghubung antara PKC dengan golongan itu.

CYLC turut dititipkan pesanan supaya berani melakukan revolusi terhadap diri, sehingga menjadi pertubuhan yang senantiasa berada di barisan hadapan sezaman mengikut jejak parti pemerintah.