China, Perancis Kekal Hubungan Rakan Strategik Komprehensif

2022-05-11 13:20:49  CRI
Share with:

 

Presiden China, Xi Jinping telah berhubung dengan rakan sejawatnya dari Perancis, Emmanuel Macron menerusi telefon, pada Selasa.

 

Dalam ucapan Xi, beliau menyatakan bahawa China dan Perancis sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB serta kuasa besar yang berdikari perlu terus memegang prinsip ‘berdikari, saling memahami, berpandangan jauh, saling menguntungkan dan menang-menang’ yang sudah ditetapkan sejak terjalinnya hubungan diplomatik.

 

Menurut beliau, kedua-dua negara juga perlu mengekalkan hubungan rakan strategik komprehensif yang rapat, saling menghormati kepentingan teras masing-masing, sekali gus terus menyelaraskan kerjasama bilateral, China-Eropah dan global.

 

“China bersedia bersama-sama Perancis untuk meneruskan pertukaran pelbagai peringkat, mendorong pembangunan sihat hubungan China-Perancis dan melindungi keamanan serta kestabilan dunia,” ujar Xi.

 

Beliau turut menekankan bahawa kerjasama China-Perancis untuk tempoh lima tahun akan datang perlu dirancang rapi melalui mekanisme dialog bilateral.

 

“Selain daripada bidang tenaga nuklear kegunaan awam dan aeroangkasa, kedua-dua pihak perlu terus mendorong kerjasama bidang baharu seperti AI dan sumber tenaga bersih.

 

“China bersedia untuk terus memperluas pengimportan produk berkualiti tinggi dari Perancis, mengalu-alukan syarikat kewangan dan teknologi canggih menjalankan kerjasama di China, di samping berharap agar Perancis dapat menyediakan persekitaran perniagaan secara adil, sama rata dan bebas diskriminasi terhadap pelabur China,” jelas Xi.

 

Beliau turut berkata, kedua-dua pihak perlu memanfaatkan peluang-peluang besar seperti ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik China-Perancis dan Sukan Olimpik Perancis pada 2024 untuk meningkatkan interaksi sosiobudaya China-Perancis serta mendorong pengetahuan dan persefahaman dua hala.

 

Xi menegaskan bahawa China dan Perancis perlu mengamalkan multilateralisme yang sebenar, melindungi sistem antarabangsa berteraskan PBB dan orde antarabangsa berasaskan undang-undang antarabangsa, menyokong perbezaan pendapat dan globalisasi ekonomi, mengintensifkan kerjasama bidang perubahan iklim dan pemeliharaan kepelbagaian biologi, mempergiat interaksi dan penyelarasan dalam G20 dan keselamatan sumber tenaga serta bijirin, memperluas kerjasama tiga hala di benua Afrika serta menjalankan kerjasama untuk melaksanakan Inisiatif Pembangunan dan Keselamatan Global.

 

Beliau memberitahu bahawa pembangunan hubungan China-Eropah yang stabil dan sihat adalah selaras dengan kepentingan rakyat kedua-dua pihak bahkan pelbagai negara.

 

“China menyanjung tinggi tindakan Perancis yang mengekalkan strategi berdikari dan berharap Perancis sebagai negara pengerusi bergilir Kesatuan Eropah (EU) boleh memainkan peranan positif bagi mendorong pembangunan sihat hubungan kedua-dua pihak seperti membantu pembentukan pengetahuan yang betul terhadap China, menangani perselisihan dengan baik dan mengintensifkan kerjasama China-EU dalam bidang ekonomi, perdagangam, hijau, digital dan sosiobudaya,” kata Xi.

 

Sementara itu, Macron pula menyatakan bahawa Perancis bersedia bersama-sama China untuk meningkatkan kerjasama sektor pertanian, aeroangkasa, tenaga nuklear kegunaan awam, sosiobudaya, perubahan iklim dan perlindungan kepelbagaian biologi dalam tempoh lima tahun akan datang sehingga mendorong hubungan kedua-dua negara mencapai lebih banyak hasil positif.

 

Beliau berkata, Perancis turut bersedia untuk terus memainkan peranan positif dalam mendorong pembangunan hubungan EU-China.

 

Antara lain yang dibincangkan oleh pemimpin kedua-dua negara adalah mengenai situasi terkini Ukraine.

 

Difahamkan, kedua-dua pihak secara sebulat suara berpendapat bahawa pelbagai pihak berkenaan perlu menyokong keamanan dipulihkan melalui rundingan Rusia-Ukraine.