China Gesa Kuasa Besar Komited Tolak Hegemoni

2022-05-11 13:33:01  CRI
Share with:

China menyeru masyarakat antarabangsa berusaha bersama untuk menjaga keselamatan luar angkasa.

Demikian kata Duta Besar China untuk Hal Ehwal Perlucutan Senjata, Li Song dalam sesi kumpulan kerja terbuka mengenai "Kod Tatalaku Tanggungjawab di Luar Angkasa" Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan di Geneva, pada Selasa.

Li menyifatkan komitmen kuasa besar yang tidak mengamalkan hegemoni dan mendominasi luar angkasa sebagai "tindakan yang bertanggungjawab".

Ketika menghuraikan pandangan dan cadangan China berhubung isu-isu situasi keselamatan luar angkasa dan pencegahan perlumbaan senjata di luar angkasa, beliau berkata, rundingan berhubung "tingkah laku yang bertanggungjawab di luar angkasa" di arena antarabangsa perlu mematuhi prinsip menjaga keselamatan luar angkasa yang dimiliki bersama.

"Semua negara perlu menjunjung konsep keselamatan global yang bersama, komprehensif, kerjasama dan mampan untuk membentuk Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan serta bekerjasama untuk menghadapi ancaman keselamatan luar angkasa dari pelbagai aspek," kata Li.

Beliau turut menegaskan peri pentingnya usaha mencegah perlumbaan senjata di luar angkasa dan mengendalikan secara seimbang hubungan antara penjagaan keselamatan dengan penggunaan luar angkasa untuk tujuan keamanan dan memastikan semua negara berhak menggunakan luar angkasa secara sama rata.

"Kepentingan negara-negara membangun dan negara yang baru berkembang dalam bidang aeroangkasa perlu diambil berat.

"Sikap prasangka, amalan dwistandard dan tindakan sekatan secara sepihak perlu disingkirkan, selain mengelakkan penyalahgunaan dalih ‘ancaman keselamatan’ untuk mengganggu aktiviti negara lain di luar angkasa bagi tujuan damai," kata Li.

Beliau turut menyeru semua negara supaya berpegang kepada amalan multilateralisme dan mengawal bersama secara bersepadu serta selaras, menyokong peranan utama PBB dalam tadbir urus antarabangsa di luar angkasa.

Jelas Li, ia adalah untuk menjamin proses penggubalan peraturan antarabangsa berhubung luar angkasa yang melibatkan semua pihak secara adil, komprehensif dan inklusif, sekali gus mengelakkan sesetengah negara mengenakan tindakan sewenang-wenangnya ke atas negara lain.