China, Pakistan Ikrar Tumpas Komplot Jejas Ikatan Bilateral

2022-05-12 13:00:08  CRI
Share with:

China akan terus menyokong Pakistan memperkasa kemampuan dalam memerangi keganasan, dan sedia bersinergi dengan negara itu untuk menumpaskan segala cubaan berniat menjejaskan hubungan bilateral.

Demikian ditegaskan Ahli Dewan Negara merangkap Menteri Luar China, Wang Yi dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Pakistan, Bilawal Bhutto Zardari menerusi pautan video pada Rabu.

Wang berkata, China bersedia meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan dengan Pakistan, mendukung usaha negara itu dalam mengekalkan kestabilan ekonomi dan kewangan, sambil mendorong pembinaan koridor ekonomi yang berkualiti.

Sementara itu, Bilawal berkata, tak kira apa jua kesulitan dan cabaran yang dihadapi, ikatan muhibah yang terjalin antara Pakistan dengan China akan kekal kukuh.

"Pakistan berharap terus memperluas kolaborasi ekonomi dan perdagangan, menarik lebih banyak pelaburan dari China, serta menjayakan projek koridor ekonomi kedua-dua negara," katanya.

Menyebut serangan pengganas menyasar warga China di Karachi hujung April, Wang menekankan, tugas mendesak buat masa ini adalah mempercepatkan siasatan supaya membawa suspek ke muka pengadilan secepat mungkin.

Bilawal pula berkata, negaranya tegas menentang segala kegiatan keganasan, dan bertekad mengenakan hukuman setimpal ke atas penjenayah terbabit.