Daya Tarikan BRI Semakin Terserlah

2022-05-14 16:06:56  CRI
Share with:

Genap lima tahun penganjuran Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa (BRF) edisi pertama yang berlangsung di Beijing pada 14 hingga 15 Mei 2017. 

Ketika menyampaikan ucaptama dalam forum tersebut, Presiden China, Xi Jinping menegaskan perlunya membangunkan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) sebagai jalan ke arah kedamaian, kemakmuran, keterbukaan, inovasi dan ketamadunan.

Dalam pada itu, semangat Jalan Sutera yang berteraskan keamanan dan kerjasama, keterbukaan dan keterangkuman, saling belajar dan saling untung perlu terus disemarakkan.

Menurut beliau, pembangunan BRI yang berakar dalam sejarah Jalan Sutera memberi tumpuan kepada benua Asia, Eropah dan Afrika, dan terbuka kepada semua sahabat.

Negara-negara baik dari Eurasia, mahupun dari Afrika dan Amerika, semuanya boleh menjadi rakan kongsi dalam BRI.  

Beliau juga menegaskan pembangunan BRI akan dilaksanakan melalui permuafakatan pelbagai pihak, dan hasilnya dikongsi bersama.

Kini, BRI muncul sebagai wadah kerjasama antarabangsa yang menarik penyertaan meluas, serta praktik sebenar untuk mewujudkan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Menurut Bank Dunia, BRI akan membantu 7.6 juta rakyat dunia keluar daripada belenggu kemiskinan tegar menjelang 2030.

Setakat akhir 2021, China telah memeterai dokumen kerjasama BRI dengan 147 negara dan 32 pertubuhan antarabangsa.