China, AS Boleh Kongsi Lingkungan Sahabat

2022-05-14 16:31:48  CRI
Share with:

China dan Amerika Syarikat (AS) selaku dua negara Asia Pasifik, boleh mempunyai lingkungan sahabat yang sama.

Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian berkata demikian dalam taklimat media pada Jumaat, sebagai respons terhadap satu inisiatif menyasar ASEAN yang diumumkan Presiden AS, Joe Biden.

Menurut Rumah Putih, Biden yang merasmikan sidang kemuncak AS-ASEAN pada Khamis berjanji untuk membelanjakan USD150 juta (RM659.7 juta) dalam infrastruktur, keselamatan dan kesiapsiagaan berdepan pandemik di negara-negara ASEAN, sekali gus mengintensifkan ikatan dua hala.

Tegas Zhao, China giat memperkasakan kolaborasi serantau diterajui ASEAN dengan berpegang pada prinsip berunding bersama, membangun bersama dan berkongsi.

“China tidak terlibat dalam mainan campur-tolak, dan tidak berkonfrontasi.

“China mengalu-alukan semua inisiatif kerjasama yang mampu menggalakkan pembangunan mampan dan kemakmuran bersama di rantau ini,” ujarnya.