AS Yang Maling Berteriak Maling

2022-05-17 13:54:07  CRI
Share with:

China menggesa Amerika Syarikat (AS) melihat fakta dengan tepat dan melakukan introspeksi terhadap masalah hak asasi manusia yang serius yang wujud di negaranya sendiri yang melibatkan genosid, diskriminasi ras, pemerdagangan manusia, buruh paksa, penahanan secara sewenang-wenang dan penyalahgunaan hukuman serta penyeksaan.

Demikian berkata jurucakap Kementerian Luar China Zhao Lijian sebagai respons terhadap laporan-laporan Jabatan Negara AS yang diserahkan kepada Kongres berhubung rancangan untuk meningkatkan tekanan ke atas China berikutan apa yang disebut "penganiayaan ngeri" terhadap etnik minoriti termasuk Uygur yang wujud di wilayah Xinjiang.

Zhao pada sidang akhbar pada Isnin turut menggesa AS menghentikan tindakan mencampuri urusan dalaman negara lain dengan bertopengkan hak asasi manusia.

Menurut Zhao, terdapat hampir 100,000 orang yang diseludup ke AS untuk menjalankan kerja secara paksa setiap tahun.  

“Jabatan Dalam Negeri AS mengeluarkan satu laporan baru-baru ini yang mengiktiraf terwujudnya pengasingan paksa dan penghapusan kebudayaan yang berlarutan selama beberapa dekad di sekolah-sekolah Indian.

 “Selain itu, AS terbukti sudah lama melakukan penahanan sewenang-wenang, penyalahgunaan hukuman serta penyeksaan. Misalnya, terdapat ratusan ribu orang ditahan dalam penjara gelap  kendalian Agensi Perisikan Pusat (CIA) di sekurang-kurangnya 54 negara dan kawasan dalam tempoh banyak tahun lalu.

“Skandal tentang penderaan banduan, penggunaan hukuman kejam serta penyeksaan yang mengerikan yang berlaku dalam penjara gelap kendalian AS tidak pernah berhenti dilaporkan," kata Zhao.

Beliau menambah, keadaan Xinjiang pada masa ini jauh berbeza dengan apa yang direka-reka dalam fitnah AS. Pembangunan ekonomi tempatan makmur, manakala penduduk menjalani kehidupan yang bahagia dalam suasana sosial yang stabil dan aman, dengan hak asasi manusia mereka semakin terpelihara. 

“Tipu muslihat AS untuk memburukkan imej Xinjiang dan mengekang pembangunan China melalui fitnah yang keji pasti akan menjadi sia-sia sahaja,” kata Zhao.