Xi: CCPIT Berperanan Penting, Dorong Pertukaran Ekonomi

2022-05-19 11:49:40  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping menyatakan bahawa Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT) berperanan penting dalam mempererat ikatan kepentingan antara syarikat tempatan dan luar negara sejak ia ditubuhkan pada 1952.

Dalam ucapannya sempena Persidangan Sambutan Ulang Tahun ke-70 Penubuhan CCPIT, yang juga Sidang Kemuncak Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan Global yang dirasmikan pada Rabu, beliau turut berkata bahawa CCPIT juga telah mendorong pertukaran ekonomi dan perdagangan antarabangsa serta meningkatkan hubungan antara negara.

"Pada masa ini, dunia menghadapi penularan pandemik dan perubahan drastik yang tidak pernah berlaku dalam seabad lalu. Pada masa yang sama, globalisasi ekonomi berdepan angin haluan dan dunia telah memasuki masa turun naik dan transformasi baharu." kata Xi.


Oleh itu, beliau berkata, sektor industri dan perdagangan pelbagai negara mempunyai harapan tinggi terhadap pembangunan damai, keadilan, kesamarataan serta kerjasama menang-menang.

Beliau turut memberikan empat cadangan untuk merealisasikan harapan tersebut termasuk bergabung tenaga dalam memerangi wabak, membangkitkan semula perdagangan dan pelaburan, mempergiat pembangunan dipacu inovasi, serta menyempurnakan tadbir urus global.

Xi menegaskan bahawa keazaman China untuk memperkasakan taraf keterbukaan tidak akan berubah, bahkan pintu China akan dibuka semakin besar.

Beliau berkata, China akan terus membina iklim perniagaan yang berorentasikan pasaran, undang-undang dan antarabangsa, melaksanakan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bertaraf tinggi, mendorong pembinaan bersama-sama inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) berkualiti tinggi, menyediakan lebih banyak peluang pasaran, peluang pelaburan, peluang pertumbuhan kepada sektor industri dan perdagangan antarabangsa.

"Marilah kita berganding tangan untuk mempertahankan kedamaian, pembangunan, kerjasama dan perkongsian saling menguntungkan bagi menyelesaikan masalah dihadapi oleh ekonomi dunia serta perdagangan dan pelaburan antarabangsa pada masa ini dan bersama-sama menuju ke masa depan yang lebih cerah," ujar Xi.

Difahamkan, persidangan kali ini turut disertai wakil pertubuhan penggalakan perdagangan dari 59 negara dan kawasan.