Negara-negara BRICS Diseru Kukuhkan Konsensus bagi Hadapi Cabaran Global

2022-05-20 14:14:50  CRI
Share with:

Negara-negara BRICS perlu bertindak selaras dengan trend perkembangan dunia, mengukuhkan konsensus yang tercapai, memantapkan keyakinan, dan berusaha bersama untuk menghadapi perubahan dunia, kata Menteri Luar China Wang Yi ketika mempengerusikan mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS secara maya pada Khamis.

"Negara-negara BRICS harus berusaha untuk mencari pendekatan  yang boleh menjadikan setiap anggota relevan dalam kerangka keselamatan dan pembangunan, membentuk sistem tembok api untuk kesihatan umat manusia, selain menyatupadukan tenaga positif dalam usaha tadbir urus global," kata Wang.

Beliau juga menegaskan bahawa semua pihak harus mengintensifkan lagi komunikasi dan penyelarasan strategik serta terus memupuk rasa saling percaya dalam bidang politik, dan memperkukuh kerjasama yang saling menguntungkan dalam pelbagai bidang.

"Semua pihak perlu mengambil tindakan yang substantif, menampilkan sikap yang terbuka dan inklusif," tambah beliau.

Menteri-menteri Luar dalam mesyuarat itu menegaskan peri pentingnya untuk terus mengamalkan multilateralisme, memelihara undang-undang antarabangsa serta manifesto dan prinsip yang terkandung dalam Piagam PBB, memperkasa pembaharuan terhadap sistem tadbir urus global bagi membina paradigma antarabangsa yang lebih adil, saksama, rasional dan inklusif.

Para hadirin juga mengeluarkan kenyataan bersama berhubung mengintensifkan perpaduan dan kerjasama antara negara BRICS bagi menghadapi ciri-ciri dan cabaran baharu dalam situasi antarabangsa.  

Untuk rekod, mesyuarat itu diserikan dengan kehadiran Menteri Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa Afrika Selatan Naledi Pandor, Menteri Luar Brazil Carlos Franca, Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov, dan Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar.