China Komited Perluas Keterbukaan Pintu

2022-05-23 15:42:17  CRI
Share with:

China berjanji akan terus memberikan dorongan kepada pertumbuhan ekonomi global dan serantau, sekali gus membuka pintunya dengan lebih luas.

Komitmen itu diulangi Menteri Perdagangan China, Wang Wentao ketika berucap pada mesyuarat menteri perdagangan ke-28 Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), pada Ahad.

Beliau juga berkata, China komited untuk ke arah zon perdagangan bebas Asia Pasifik yang komprehensif dan bertaraf tinggi.

“Semua anggota APEC harus terlibat dalam membina komuniti berkongsi nasib Asia Pasifik, dan memantapkan lagi kerjasama praktikal dalam bidang perdagangan dan pelaburan,” ujar Wang menerusi pautan video dalam mesyuarat selama dua hari itu di Bangkok.

Menurut beliau, penglibatan China dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi serantau dilihat masih berada pada tahap konsisten termasuk melaksanakan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) secara berkualiti tinggi, dan bersinergi dengan negara berkenaan untuk menaif taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA).

“Kami (China) tengah berusaha ke arah menganggotai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital, sebagai dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan ekonomi,” kata Wang.

Beliau turut menegaskan bahawa China sentiasa konsisten dalam pendiriannya mengenai sistem perdagangan pelbagai hala berteraskan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

“Kami akan terus menyumbang kepada kestabilan rantai perindustrian dan rantai bekalan global, sekali gus memberikan lebih banyak faedah buat semua pihak.

“APEC boleh memainkan peranannya sebagai penggalak, penstabil dan inkubator, di samping memberikan sokongan padu kepada kerja WTO,” kata Wang.

Jelas beliau, China bersedia mengukuhkan kerjasama dengan entiti ekonomi APEC lain dan menggerakkan Persidangan Menteri-Menteri WTO ke-12 hingga mencapai hasil pragmatik termasuk membabitkan tindak balas COVID-19, dan reformasi WTO.