Pelabur Asing Optimistik terhadap Pasaran China

2022-05-23 12:25:39  CRI
Share with:

Daya tarikan pasaran modal dan syarikat China terhadap pelabur luar terus meningkat meskipun turun naik aliran modal rentas sempadan semakin ketara akibat penularan wabak COVID-19 serta sentimen mengelak risiko.

Menurut statistik untuk suku pertama tahun ini daripada beberapa institusi pelaburan antarabangsa, pemilikan saham China telah bertambah secara meluas.

Antaranya, Bridgewater Associates telah membeli sejumlah besar saham China, Fidelity International menambah pemilikan saham syarikat internet China, sementara J.P.Morgan Chase & Co pula meningkatkan pegangan saham China sekali gus menaikkan penarafan saham terbabit.

Di pasaran saham kelas A, tarikan aset China terus meningkat apabila aliran masuk modal asing sepanjang tahun lepas mencatat RMB384.6 bilion (RM252.6 bilion), iaitu prestasi terbaik dalam tempoh lima tahun lalu.

Memetik laporan Morgan Stanley baru-baru ini, pasaran saham kelas A mampu mendapat keuntungan daripada dasar longgar dalam jangka pendek, di samping mencapai pertumbuhan untuk jangka masa panjang.

Naib Presiden Bank Standard Chartered China, Hong Jun berkata, sektor kewangan China mengamalkan keterbukaan yang berterusan berasaskan pembangunan bertaraf tinggi.

Jelasnya, ia secara tidak langsung mampu mendatangkan lebih banyak peluang pembangunan kepada institusi modal asing.