Menteri BRICS Mahu Kerjasama Revolusi Perindustrian Baharu Diperkasa

2022-05-24 12:44:51  CRI
Share with:

China akan bersinergi dengan pihak-pihak terbabit untuk memperdalam kerjasama inovatif berhubung revolusi perindustrian baharu bagi mencapai matlamat pembangunan mampan menerusi cara lebih kukuh, sihat dan berdaya tahan.

Demikian ujar Menteri Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT), Xiao Yaqing ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Perindustrian BRICS keenam secara maya, pada Isnin.

BRICS terdiri daripada lima ekonomi utama sedang berkembang di dunia iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Sepanjang mesyuarat anjuran MIIT itu berlangsung, antara yang dibincangkan peserta adalah merangkumi pemerkasaan kolaborasi secara menyeluruh, pemantapan transformasi digital industri konvensional serta peningkatan kerjasama rantaian perindustrian dan rantaian bekalan.

Xiao turut menyingkap kembali sejarah dan kemajuan dicapai sejak mesyuarat berkenaan edisi pertama yang dilancarkan pada 2015.

“Dengan adanya usaha berterusan, kerjasama praktikal sesama anggota BRICS dalam bidang perindustrian membuahkan lebih banyak hasil menyusuli penjalinan Perkongsian BRICS bagi Revolusi Perindustrian Baharu (PartNIR) serta penubuhan pusat inovasi berkenaan,” kata beliau.

Menurut Xiao, tatkala dunia ketika ini bergelut dengan penularan pandemik COVID-19 dan perubahan drastik yang tidak pernah dilihat sebelum ini, China mengambil langkah proaktif untuk mengimbangi tindak balas wabak dan pembangunan sosioekonomi.

Para hadirin turut membuat keputusan sebulat suara menerusi deklarasi bersama untuk memperkasakan kerjasama perindustrian dan membentuk suasana pembangunan yang terbuka, saksama, dinamik dan berdaya tahan.

Antara syor lain yang dikemukakan termasuk membentuk satu sistem kerjasama yang stabil, selamat dan saling untung membabitkan rantaian perindustrian dan rantaian bekalan, dan memantapkan pemulihan ekonomi sektor perindustrian.