Persahabatan Rakyat China-AS Diharap Kekal Kukuh: Xi

2022-05-25 13:05:28  CRI
Share with:

Pertukaran sesama rakyat China dan Amerika Syarikat (AS) akan terus digiatkan, di samping kerjasama yang saling menguntungkan diperkasa demi kesejahteraan rakyat dua negara.

Hasrat itu dinyatakan Presiden China, Xi Jinping menerusi surat balas kepada seorang kenalannya, Sarah Lande, dari Iowa, AS.

Menerusi surat itu, beliau turut memaklumkan dirinya pernah melakukan lawatan ke Iowa sebanyak dua kali, dan berkesempatan menjalin ikatan mesra bersama masyarakat setempat di bandar Muscatine.

Xi menyifatkan rakyat China dan AS sebagai unggul dengan menjalin persahabatan yang tidak ternilai harganya, sekali gus meletakkan asas kukuh untuk pembangunan hubungan dua hala.

Beliau berharap agar Lande dan sahabat lamanya yang lain di Muscatine terus menyemai bibit-bibit persahabatan ke arah mengukuhkan hubungan yang erat antara rakyat kedua-dua negara.

Untuk rekod, Lande pernah menerima kunjungan hormat Xi ke Muscatine pada 1985. Pada 2012, Xi yang menyandang jawatan Naib Presiden China ketika itu, berpeluang menjejakkan kaki di rumah Lande semasa lawatan kerja beliau di AS.

Baru-baru ini, Lande menulis surat kepada Xi dengan menyatakan harapan agar pertukaran sosiobudaya dalam kalangan rakyat AS dan China dapat terus diperdalam, dan usaha membina persefahaman dan saling percaya diperkasakan.  

Sebagai tanda persahabatan, Lande turut menghadiahkan salinan memoirnya ‘Old Friends: The Xi Jinping-Iowa Story’ kepada Presiden Xi.