Hubungan Erat China, Kepulauan Solomon Contoh Baik Kerjasama Selatan-Selatan

2022-05-27 16:43:24  CRI
Share with:

Hubungan yang makin rapat antara China dengan Kepulauan Solomon membawa banyak manfaat kepada rakyat, sekali gus merupakan contoh baik bagi kerjasama Selatan-Selatan.

Demikian ujar ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar, Wang Yi dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Kepulauan Solomon, Jeremiah Manele di Honiara, pada Khamis.

Wang berkata, hubungan kedua-dua pihak menyingkap lembaran baharu selepas pertemuan Presiden Xi Jinping dengan pemimpin negara-negara kepulauan Pasifik secara kolektif pada 2018.

“Pada ketika itu, kami sebulat suara bersetuju untuk menaik taraf hubungan dua hala ke peringkat perkongsian strategik menyeluruh yang berlandaskan kepada pembangunan bersama dan saling menghormati,” jelas beliau.

Tegas Wang, China sentiasa konsisten dalam pendiriannya mengenai ‘empat prinsip tunjang’ dalam memantapkan hubungan dengan negara di rantau Pasifik.

“Layanan secara adil merupakan antara perkara paling pokok yang sentiasa kami junjungi. Setiap negara adalah sama tidak kira besar atau kecil,” katanya.

Menurut Wang, China mengembangkan hubungan muhibah dengan negara rantau berkenaan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan, serta menjadikannya komponen penting kerjasama Selatan-Selatan.

Beliau turut mengulangi pendirian China berhubung konsistensinya dalam menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah negara kepulauan di rantau Pasifik.

“Kami menghormati jalan pembangunan yang dipilih dan ditempuhi negara berkenaan, dan tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara terbabit. Kami juga tidak mengejar sebarang laba geopolitik,” ujar Wang.

Selain itu, penerokaan kerjasama bagi mewujudkan situasi menang-menang juga menjadi antara sasaran China memperkasakan kolaborasi dengan negara kepulauan terbabit dalam pelbagai bidang.

“Kami sudi membantu negara berkenaan memajukan ekonomi, membaiki taraf hidup rakyat dan meningkatkan keupayaan mereka untuk membangun secara berdikari,” janji Wang.

Beliau turut berpendapat bahawa elemen keterbukaan dan keterangkuman merupakan prinsip rukun yang perlu dipegang.

Tambah Wang, rantau Pasifik Selatan merupakan platform kerjasama, bukan medan persaingan.

“Kerjasama yang dijalin antara kita tidak bersasar sebarang negara, dan tidak akan diganggu oleh pihak lain.

“Pada masa sama, kami menghormati ikatan kerjasama yang sedia ada antara negara kepulauan itu dengan negara lain,” ujar beliau.