China Pergiat Usaha Kempen Anti Rokok Kanak-kanak

2022-05-30 13:39:02  CRI
Share with:

Tanggal 31 Mei ini merupakan genapnya tahun ke-35 Hari Tanpa Tembakau Sedunia disambut.

Kebiasaannya, semua sekolah di China akan mengadakan kempen anti rokok bagi menasihati pelajar agar menjalankan kehidupan yang redah karbon dan sihat.

Bagi para pelajar, masing-masing akan mencipta slogan dan membuat serta mengedar risalah tentang larangan merokok, selain mempelajari ilmu yang berkaitan.

Pada 1987, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan tarikh 7 April setiap tahun sebagai "Hari Tanpa Tembakau Sedunia" dan ia mulai dilaksanakan pada 1988.

Namun, sejak 1989, "Hari Tanpa Tembakau Sedunia" ditukar menjadi 31 Mei setiap tahun, iaitu sehari sebelum menyambut “Hari Kanak-kanak Sedunia” dengan harapan memberi amaran kepada remaja agar menjauhkan diri daripada tabiat merokok.

China membentuk sistem anti rokok jangka masa panjang di semua sekolah sejak 2014 bagi mewujudkan persekitaran sihat kepada remaja.

Pada tahun 2020 pula, Kementerian Pendidikan China bersama Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengeluarkan Panduan berhubung Usaha Memperkasa Pembangunan Sekolah Tanpa Rokok bagi mewujudkan matlamat tanpa rokok di semua sekolah di negara ini menjelang akhir 2022.

Di samping itu, China juga menguatkuasakan Undang-undang Perlindungan Remaja Bawah Umur pada 1 Jun 2021 yang menyaksikan orang tua atau penjaga dilarang membiarkan atau menghasut kanak-kanak kecil merokok, serta mengharamkan penjualan rokok di kawasan berhampiran sekolah dan merokok di premis aktiviti remaja bagi mengelakkan remaja daripada terjebak dengan rokok.