Xi Sampai Ucapan Bertulis kepada Mesyuarat Menteri Luar China-Negara Kepulauan Pasifik

2022-05-30 15:50:19  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping menyampaikan ucapan secara bertulis kepada Mesyuarat Menteri Luar China-Negara Kepulauan Pasifik kedua, hari ini.

Xi berkata hubungan persahabatan antara China dengan negara-negara kepulauan Pasifik dijalin sejak sekian lama, dan ia terus berkembang selepas dinaik taraf ke peringkat perkongsian strategik menyeluruh yang bersandarkan kepada pembangunan bersama dan saling menghormati.

Beliau menyifatkan keberhasilan hubungan tersebut sebagai contoh baik kerjasama Selatan-Selatan menyasar kesalinguntungan.

Xi menegaskan bahawa China sentiasa konsisten dalam pendiriannya mengenai layanan sama rata sesama negara tak kiralah besar atau kecil.

Selain itu, negara Tembok Besar itu sentiasa mengembangkan hubungan muhibah dengan negara-negara di rantau Pasifik dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.

Presiden itu turut berjanji, tak kira apa saja perubahan yang akan berlaku di dunia, China terus menjadi sahabat sejati kepada negara-negara berkenaan, yang sudi bersama-sama menghadapi sebarang ujian dan kesusahan.

Menurut beliau, usaha memelihara keamanan dan kestabilan di rantau Asia Pasifik serta menggalakkan pembangunan bersama merupakan aspirasi bersama rakyat di rantau ini, malah tanggungjawab bersama negara serantau.

China akan bersinergi dengan negara di rantau Pasifik untuk mengukuhkan keyakinan dalam menangani cabaran dan membina konsensus dalam mencari peluang pembangunan ke arah membentuk komuniti berkongsi nasib yang lebih erat.