Lawatan Bachelet ke China Tingkat Pemahaman, Kerjasama

2022-05-31 17:22:43  CRI
Share with:

Lawatan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet ke China adalah bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan kerjasama, serta memperjelas keadaan sebenar. 

Demikian kata jurucakap Kementerian Luar Zhao Lijian dalam taklimat harian pada Isnin, sebagai respons terhadap kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken yang mendakwa China menyekat dan memanipulasi lawatan tersebut.

Zhao memaklumkan, Bachelet telah menjejak kaki ke Guangzhou dan Xinjiang dalam tempoh kunjungan bermula 23 hingga 28 Mei.

Melalui sesi bersidang, interaksi, seminar dan tinjauan lapangan, pesuruhjaya tinggi itu lebih memahami jalan pembangunan hak asasi yang ditempuh China.

Beliau turut melihat sendiri keadaan sebenar di wilayah Xinjiang yang kini makmur dan stabil, manakala penduduk tempatan hidup aman sentosa.

“Di depan fakta, hancur luluhlah semua dusta dan khabar angin berkaitan Xinjiang yang sengaja direka-reka politikus AS,” ujar Zhao.

Katanya, padahal AS barulah pihak yang mahu memanipulasi lawatan berkenaan.

AS pada mulanya mendesak Bachelet melawat China, kemudian mengenakan pelbagai syarat ke atas lawatan yang telah pun disetujui, dan akhirnya memburuk-burukkan pula lawatan itu.  

Tindakan seumpama sekali lagi membuktikan AS sama sekali tidak prihatin terhadap keadaan hak asasi manusia, sebaliknya hanya berniat mengekang China atas nama hak asasi.

Hipokrasi dan agenda politik negara itu jelas terpampang di depan mata dunia.