Isu Taiwan Urusan Dalaman China, Tolak Campur Tangan Asing

2022-05-31 12:47:54  CRI
Share with:

Isu Taiwan merupakan urusan dalaman China yang menolak sebarang campur tangan asing, dan penyatuan semula negara menjadi usaha murni.

Pendirian itu ditegaskan menerusi jurucakap Kementerian Luar, Zhao Lijian ketika diminta mengulas mengenai laporan bahawa Perdana Menteri Kemboja Hun Sen membidas kenyataan Amerika Syarikat (AS) berhubung Taiwan.

Dilaporkan, Hun Sen berkata cubaan menghasut 'kemerdekaan Taiwan' amat berbahaya, sambil menggesa AS supaya menghormati kedaulatan negara China dan jangan bertindak seolah-olah 'menuang minyak ke dalam api'.

Zhao turut menghargai kenyataan Perdana Menteri Kemboja itu.

"Taiwan sebahagian wilayah China dan kerajaan Republik Rakyat China merupakan satu-satunya kerajaan sah yang mewakili seluruh China, yang telah pun menjadi konsensus masyarakat antarabangsa.

"Kami (China) komited untuk mempertahankan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah, dan menentang sebarang cubaan pemisahan,” tegasnya semasa taklimat harian pada Isnin.

Tambah beliau, usaha penyatuan semula negara akan terus mendapat sokongan padu daripada masyarakat antarabangsa termasuk Kemboja.