China, Zambia Komited Mantapkan Kolaborasi

2022-06-01 12:59:09  CRI
Share with:

China mementingkan hubungan dengan Zambia, dan bersedia bersama negara itu untuk memperkukuh ikatan persahabatan sekali gus mendorong hubungan bilateral berkembang ke tahap lebih tinggi membabitkan bidang lebih luas.

Demikian dinyatakan Presiden China, Xi Jinping semasa menghubungi rakan sejawatnya dari Zambia, Hakainde Hichilema menerusi telefon pada petang Selasa.

Xi berkata kedua-dua pihak harus saling menyokong dalam isu-isu berkaitan kepentingan teras satu sama lain, memperkasakan interaksi antara parti, dan berkongsi pengalaman dalam tadbir urus negara.

Beliau turut menekankan perlunya memastikan hasil Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) dilaksanakan sepenuhnya, di samping mengintensifkan kerjasama saling untung dalam pelbagai bidang serta sinergi melawan pandemik COVID-19.

Usaha juga perlu digandakan untuk menggalakkan lebih banyak komoditi keluaran Zambia khususnya produk pertanian berkualiti tinggi memasuki pasaran China, katanya.

Hichilema pula menyuarakan kesediaan pihaknya untuk terus memajukan ikatan bilateral dengan China berbekalkan semangat kekitaan serta rasa saling percaya yang tinggi.

Ujarnya, Zambia berpegang teguh kepada dasar satu China, mendukung Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Keselamatan Global yang diajukan China, dan bersedia memantapkan kolaborasi segenap aspek di bawah kerangka FOCAC.