China, AS Bertanggungjawab Bina Dunia Lebih Baik

2022-06-01 12:23:34  CRI
Share with:

 


Pembinaan dunia yang saling tersambung, inklusif dan kongsi keselamatan merupakan tanggungjawab bersama China dengan Amerika Syarikat (AS).

 

Demikian ujar Menteri Luar China, Wang Yi ketika berucap pada Simposium Henry Alfred Kissinger dan Hubungan China-AS secara maya pada Rabu.

 

Menurut beliau, hubungan kedua-dua negara menghadapi semakin banyak cabaran dengan sejarah hubungan China-AS diputarbelitkan, selain hala tuju perkembangan turut menghadapi risiko tergelincir daripada landasan yang betul.

 

Justeru, Wang berkata bahawa kedua-dua pihak perlu memperbetul kefahaman, mengetepikan pemikiran Perang Dingin, memperkukuh asas politik, mengawal perselisihan, mengelakkan diri dari terpesona dengan persaingan dan mempertingkat interaksi serta kerjasama.

 

“Misi utama China adalah membangun demi kesejahteraan rakyat dan jika AS terus mendefinasi hubungannya dengan China sebagai persaingan antara negara besar serta mementingkan kemenangan, maka kedua-dua negara akan berkembang ke arah pertentangan dan konflik sehingga mendorong dunia kepada pergolakan,” ujar beliau.

 

Wang turut menyanjung tinggi terhadap tokoh-tokoh dari pelbagai kalangan masyarakat AS seperti Kissinger yang memberi perhatian dan menyokong perkembangan hubungan China-AS.



Kissinger, Bekas Setiausaha Negara AS pula menyatakan bahawa China dan AS sebagai negara besar perlu menetapkan prinsip yang boleh mengelakkan permusuhan.

 

Beliau mencadangkan kedua-dua pihak mengadakan dialog untuk menekankan kepentingan teras masing-masing serta berharap dialog antara kedua-dua negara akan membawa kelestarian keamanan kepada AS, China dan sejagat.

 

Untuk rekod, simposium tersebut dianjurkan Persatuan Diplomatik Rakyat China sempena ketibaan Hari Lahir ke-99 Kissinger.

 

Para peserta turut mengambil kesempatan mengimbau kembali usaha dilakukan Kissinger dalam mendorong pembangunan hubungan China-AS serta membincangkan isu melibatkan kedua-dua negara.