Artis Muda Warisi Budaya Tradisional

2022-06-02 11:34:31  CRI
Share with:

Menjelang ketibaan Festival Perahu Naga (Duan Wu Jie) yang jatuh pada 3 Jun, Zhang Weichao kelihatan sedang sibuk menyiapkan tempahan arca kayu kepala dan ekor naga bagi perahu naga untuk perlumbaan di halaman rumahnya di kampung Xiasha, daerah Huangpu, bandar Guangzhou, provinsi Guangdong selatan China baru-baru ini.

Pengukir muda ini juga digelar sebagai pewaris teknik ukiran kepala dan ekor perahu naga, iaitu Warisan Budaya Tidak Ketara di daerah Huangpu.

Sejak kecil lagi, Zhang telah menunjukkan minat terhadap perahu naga. Pada 2009, Zhang meninggalkan kerjayanya sebagai guru, dan pulang ke kampung untuk meneroka kerjaya dalam bidang pengukiran perahu naga.

Bagi perahu naga, kepala dan ekor naga adalah jiwanya. 

Pengukiran kepala naga secara buatan tangan sangat rumit, serta memerlukan banyak proses yang melibatkan pemilihan kayu, pemotongan bahan, melukis lakaran, ukiran, pengisaran, penggilapan dan sampang.

Untuk menghasilkan satu kepala naga, Zhang memerlukan 10 hari dengan menggunakan peralatan seperti pahat, kikir dan pisau ukiran.

Zhang sentiasa meningkatkan kemahiran ukirannya sejak waktu permulaan penglibatannya dalam sektor pengukiran sehingga dirinya sudah mencapai peringkat tinggi pada masa ini.

Kehebatannya turut tersebar ke negara luar, sehinggakan perantau China dan orang Cina di seberang laut meminta Zhang menghasilkan kepala naga untuk mereka dengan harapan agar kebudayaan kampung halaman dapat dibawa ke tempat tinggal masing-masing.

Dalam video pada majlis perasmian Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing, arca kayu kepala naga yang dihasilkan Zhang kelihatan melompat keluar dari permukaan air, dan turut menampilkan kebudayaan di Guangdong dan wilayah berdekatan di selatan China.

Zhang berharap untuk terus mewarisi teknik ukiran arca kepala dan ekor naga, sekali gus menyumbang kepada pewarisan budaya perahu naga China.